Sabtu, 4 Disember 2021 | 9:37am
Keadaan banjir yang berlaku di Kampung Chalok Kedai hingga menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).-Foto faiI NSTP
Keadaan banjir yang berlaku di Kampung Chalok Kedai hingga menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).-Foto faiI NSTP

Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan menurun

KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun daripada 182 orang kepada 140 sehingga jam 8 pagi ini.

Penurunan angka itu berikutan penutupan PPS Masjid Kampung Merbau Menyusut di Setiu yang menempatkan seramai 42 mangsa membabitkan lapan keluarga.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, berkata PPS berkenaan yang dibuka jam 12.30 tengahari kelmarin ditutup jam 10.50 malam tadi berikutan keadaan cuaca yang semakin baik.

"Setakat ini tujuh PPS yang aktif bagi menempatkan 54 keluarga membabitkan 140 mangsa.

"PPS berkenaan adalah Masjid Kampung Chalok Kedai, Masjid Kampung Gong Terap, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Besut dan Balairaya Kampung Bukit Mak Som di Setiu.

"Di Kuala Nerus, masih kekal dua PPS yang diaktifkan iaitu SK Mengabang Telipot dan Surau Mak Jintan yang menempatkan mangsa seramai 30 orang daripada enam keluarga dan SK Kampung Baharu di Besut (10 mangsa, 4 keluarga)," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, semua mangsa banjir di PPS SK Merbau Menyusut dibenarkan pulang secara berperingkat selepas air yang menenggelami kawasan kediaman mereka surut.

Berita Harian X