Sabtu, 4 Disember 2021 | 9:14am

Nenek bina kandang sementara, selamatkan kambing

RANTAU PANJANG: "Tahun ini saya tidak perlu lagi menempatkan kambing saya di dalam rumah, selepas kandang sementara dibina bagi mengelak ternakan mati akibat lemas banjir," kata seorang nenek, Kamariah Latif, 82.

Kamariah menarik nafas lega apabila tidak perlu lagi memikirkan keadaan kambing ternakannya yang kini selamat ditempatkan di kandang dibina berdekatan parkir rumahnya selepas kandang asal mulai dinaiki air separas 0.5 meter sejak semalam.

Wanita mempunyai dua anak dan 16 cucu itu, berkata dia membina kandang berkenaan bermodalkan RM1,000 kerana tidak mahu ternakan miliknya mati sebagaimana tragedi banjir pada tahun lalu.

"Jika kandang sementara tiada, kambing ini hanya dilepaskan terbiar di atas jalan menyebabkan ia mudah dilanggar kereta, selain risiko untuk lemas kerana hampir keseluruhan kawasan rumah saya digenangi air.

"Sekarang saya tidak lagi resah kerana yakin kambing ini ada di kandang sekali gus memudahkan saya memberi mereka makan dedak atau rumput sambil dibantu anak dan cucu.

"Saya mempunyai enam kambing namun beberapa ekor sudah dijual, kini tinggal dua kambing jantan dan betina sahaja yang diternak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tersang, di sini, semalam.

Kampung Tersang adalah salah satu penempatan rendah yang terawal dilimpahi banjir separas 0.5 sehingga satu meter selain Kampung Luar, Kampung Gual To'Deh, Kampung Lachang dan Kampung Pengkalan Rakit, di sini.

Sementara itu, menurut laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Golok setakat jam 8 pagi hari ini, masih menunjukkan paras amaran dengan bacaan 8.60 meter dengan trend meningkat.

Kamariah turut berkongsi rutinnya yang menjual pelbagai jenis ubi setiap kali musim tengkujuh yang ditanam berdekatan rumahnya bagi mencari pendapatan sampingan.

"Beginilah kehidupan orang berumur seperti saya, hidup dengan menternak dan bertani tetapi aktiviti sebegini buat saya berasa lebih sihat dan kuat. Jika tidak melakukannya sehari, badan saya lebih merasa lemah dan tidak bermaya.

"Hampir setiap tahun saya berdepan dengan fenomena banjir, tetapi tidak pernah mengeluh kerana sudah menjadi lumrah alam kawasan ini dilanda banjir dan hanya perlu bersedia menghadapinya," katanya.

Kamariah Latif memberi makan kambingnya di kandang sementara yang dibina berdekatan parkir rumahnya bagi mengelak ternakan mati akibat lemas banjir ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tersang, di sini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Kamariah Latif memberi makan kambingnya di kandang sementara yang dibina berdekatan parkir rumahnya bagi mengelak ternakan mati akibat lemas banjir ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tersang, di sini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X