Jumaat, 3 Disember 2021 | 1:06pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Kelantan sedia laksana Undi 18

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan bersedia melaksanakan undi untuk individu berusia 18 tahun (Undi 18) sekiranya dilaksanakan Kerajaan Persekutuan.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Abdullah Ya'akub, berkata ia berikutan Kelantan sudah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian 1) (Pindaan) 2020 bagi meminda kelayakan umur untuk mengundi dan calon kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Katanya, pindaan itu diluluskan pada Persidangan Pertama DUN Kelantan, Ogos tahun lalu, yang menurunkan umur kelayakan calon daripada 21 kepada 18 tahun.

"Pindaan ini sudah dipersetujui DUN Kelantan yang akan memberi peluang kepada mereka berusia 18 tahun untuk mengundi, selain layak menjadi calon di kerusi DUN.

"Jika Kerajaan Persekutuan melaksanakan Undi 18, kerajaan negeri akan ikut serta-merta. Ketika ini, kita tunggu Kerajaan Persekutuan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, pendaftaran secara automatik pemilih berusia 18 tahun ke atas sudah diwartakan dan berkuat kuasa 15 Disember ini.

Pindaan Perlembagaan yang diwartakan pada 25 November lalu itu mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Berita Harian X