Khamis, 2 Disember 2021 | 8:47pm

Sudah lali jadi penghuni PPS

KUALA NERUS: "Sudah 40 tahun, setiap kali tiba musim tengkujuh, kami sekeluarga antara yang terawal berpindah," kata Azmi Ngah, 48, dari Kampung Alor Damat, Batu Rakit, di sini.

Katanya, pengalaman itu menyebabkan dia dan isteri, Zainun Awang, 40, membuat persiapan awal apabila tiba musim tengkujuh.

Azmi berkata, kediamannya yang terletak berhampiran tali air dan sering menjadi kawasan terawal dilanda banjir.

Bapa kepada dua anak, Muhammad Aqil Zafran, 8, dan Muhammad Aufa Zabdan Altamus, 4, berkata, banjir kali ini menyebabkan kediamannya ditenggelami 0.4 meter.

"Sejak tinggal di sini pada 1981, saya dan isteri sudah lali dengan banjir. Kebiasaannya setiap kali berpindah, kami terpaksa bermalam antara empat hari hingga seminggu.

"Saya akan pulang setiap dua jam kerana mahu memastikan keselamatan tiga ekor lembu serta haiwan peliharaan lain seperti kucing dan burung," katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Banjir (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Mengabang Telipot, di sini, hari ini.

Azmi yang bekerja sebagai buruh binaan berkata, kediamannya mudah dinaiki air kerana berada di kawasan rendah dan menjadi laluan air yang melimpah berpunca daripada hujan lebat.

"Biasanya kami hanya berpindah ke PPS sekali dalam setahun. Berikutan banjir yang semakin buruk, tahun lalu kami berpindah tiga kali ke PPS," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran cuaca peringkat waspada dengan hujan berterusan melanda Terengganu dan beberapa kawasan di Kelantan. - Foto NSTP/GHAZALI KORI
Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran cuaca peringkat waspada dengan hujan berterusan melanda Terengganu dan beberapa kawasan di Kelantan. - Foto NSTP/GHAZALI KORI

Azmi (kiri) bersama anggota RELA mengalihkan peralatan rumah selepas kediamanya dilanda banjir di Kampung Alur Damat. - Foto NSTP/GHAZALI KORI
Azmi (kiri) bersama anggota RELA mengalihkan peralatan rumah selepas kediamanya dilanda banjir di Kampung Alur Damat. - Foto NSTP/GHAZALI KORI
Berita Harian X