Khamis, 2 Disember 2021 | 4:03pm

Air Sungai Aur di Klang bertukar biru

KLANG: Penghuni Pangsapuri Taman Permai Indah, Pandamaran di sini dikejutkan dengan air di Sungai Aur yang terletak bersebelahan kediaman mereka bertukar biru sejak pagi tadi sehingga kini.

Penduduk pangsapuri berkenaan, C R Moganadash, 44, ketika ditemui mendakwa, isterinya memberitahu melihat air sungai itu bertukar warna kepada biru sedikit demi sedikit sejak jam 9 pagi tadi.

"Rumah kami tingkat lapan, isteri saya ternampak air sungai itu bertukar kepada biru ketika sidai baju, memang nampak jelas air sungai warna biru dari atas.

"Warna biru itu sedikit demi sedikit mengalir sebelum memenuhi sungai berkenaan. Pada jam 12 tengah hari, seluruh sungai sudah biru dan warna semakin gelap.

"Kami penduduk sini amat terkejut dengan perubahan warna air ini. Ini kali pertama berlaku sejak saya tinggal di sini 18 tahun lalu," katanya.

Beliau bimbang pencemaran air itu memberi kesan jangka panjang penduduk taman dan sudah memberitahu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran berhubung perkara ini.

"Saya bimbang kesan pencemaran ini kerana kita tidak tahu bahan apa yang sudah memasuki sungai ini.

"Kami berharap semua pihak berwajib dapat bersama-sama menyelesaikan pencemaran ini kerana bimbang kesan kepada penduduk," katanya.

Ada juga penduduk mendakwa, pernah berlaku limpahan air sungai berkenaan sekiranya hujan lebat tanpa henti.

Tinjauan di lokasi berhampiran Pintu Air Pandamaran itu petang tadi, mendapati warna air sungai berkenaan biru dan kotor namun tidak mengeluarkan bau.

Wartawan turut meninjau keadaan Sungai Aur dari tingkat 12 Blok B taman perumahan itu mendapati warna air bertukar biru hingga ke pintu air berkenaan.

Keadaan air berwarna biru di Sungai Aur itu juga dalam keadaan 'air termenung' tidak mengalir.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar ketika dihubungi memaklumkan ada menerima aduan mengenai kejadian air biru itu.

"JAS sudah mengambil sampel dan menjalankan penjejakan punca sejak pagi tadi. Perkembangan terkini akan dimaklumkan dari masa ke semasa," katanya.

Penghuni Pangsapuri Taman Permai Indah, Pandamaran menunjukkan keadaan air Sungai Aur yang berwarna biru. - Foto RUWAIDA MD ZAIN
Penghuni Pangsapuri Taman Permai Indah, Pandamaran menunjukkan keadaan air Sungai Aur yang berwarna biru. - Foto RUWAIDA MD ZAIN
Berita Harian X