Rabu, 1 Disember 2021 | 2:50pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Selangor rekod 9,551 kematian akibat COVID-19 tahun ini

SHAH ALAM: Selangor merekodkan 9,551 kematian akibat COVID-19 pada sejak Januari hingga 2 November lalu manakala 66 kematian direkodkan pada tahun 2020.

EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita & Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, 7,833 membabitkan kematian warganegara manakala 1,718 adalah bukan warganegara.

"Merujuk kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) jumlah kematian mengikut pecahan kaum untuk tempoh yang sama adalah 4,696 bagi Melayu, Cina (1,800), India (1,285 kematian), lain-lain (52).

"Kadar kematian tertinggi direkodkan pada Julai serta Ogos iaitu masing-masing 3,034 dan 2,452 bagi kematian warganegara manakala 613 (Julai) serta 823 (Ogos) bagi kematian pesakit bukan warganegara," katanya pada Sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Lee Kee Hiong (PH-Kuala Kubu Bharu).

Mengulas lanjut, Dr Siti Mariah berkata, mengikut rekod JKNS bermula 1 Jun hingga 30 September lalu, sejumlah 775 kes kematian adalah dalam kalangan mereka yang sudah menerima dua dos vaksin sejak program vaksinasi dimulakan pada Jun 2021.

"Ini bermakna, sebanyak 9.1 peratus kematian akibat COVID-19 bagi tempoh Jun-September 2021 di Selangor adalah dalam kalangan penerima vaksin dua dos," katanya.

Berita Harian X