Rabu, 1 Disember 2021 | 1:18pm
 Dr Siti Mariah menjawab soalan pada Sidang DUN Selangor di Shah Alam, hari ini. - Foto NSTP/ Faiz Anuar
Dr Siti Mariah menjawab soalan pada Sidang DUN Selangor di Shah Alam, hari ini. - Foto NSTP/ Faiz Anuar

1,076 kes dera kanak-kanak dilapor di Selangor

SHAH ALAM: Sebanyak 1,076 kes membabitkan penderaan kanak-kanak dilaporkan berlaku di Selangor sepanjang tempoh Januari hingga September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud, berkata berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), semua kes itu membabitkan penderaan fizikal, emosi dan gangguan seksual tanpa mengkhususkan kepada kes pedofilia.

"Daripada keseluruhan kes yang direkodkan sehingga kini, penderaan fizikal merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 527 kes, diikuti gangguan seksual (514) dan emosi (35)," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Juwairiya Zulkifli (PH-Bukit Melawati) mengenai kes pedofilia di Selangor.

Dr Siti Mariah berkata, mengikut Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertanggungjawab memberikan perlindungan kepada kanak-kanak daripada dicabul dari segi fizikal, emosi atau seksual daripada mana-mana individu.

"Bagi membantu mencegah dan mengurangkan kes kanak-kanak, termasuk pedofilia, JKM Selangor mempunyai 11 Pasukan Perlindungan Kanak-kanak (PPKK) di setiap daerah di negeri ini.

"PPKK adalah sistem sokongan kepada perkhidmatan perlindungan kanak-kanak di peringkat komuniti," katanya.

Katanya, antara peranan PPKK adalah memaklumkan sebarang kejadian penganiayaan dan pengabaian kepada mana-mana pelindung atau pegawai kebajikan masyarakat (PKM).

Berita Harian X