Selasa, 30 November 2021 | 6:53pm
 Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor, Datuk Teng Chang Khim
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor, Datuk Teng Chang Khim

'793 permohonan layak terima Geran Padanan Digitalisasi PKS'

SHAH ALAM: Kerajaan negeri menerima 1,372 permohonan Geran Padanan Digitalisasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Selangor setakat 30 Oktober lalu yang dikhususkan bagi membantu usahawan PKS mendigitalisasikan perniagaan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) negeri, Datuk Teng Chang Khim, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 793 permohonan layak sudah diluluskan membabitkan peruntukan RM3.8 juta daripada RM5 juta nilai keseluruhan geran padanan itu.

"Kelulusan Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor yang dilancarkan pada April lalu dilaksanakan jawatankuasa khas diketuai bekas Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Ng Wan Peng dan Pengarah Urusan The Hive Southeast Asia, Datuk Syed Haizam Jamalullail, yang juga seorang daripada lapan pemodal teroka pilihan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Muhammad Hilman Idham (BERSATU-Gombak Setia) yang bertanya mengenai usaha kerajaan negeri meningkatkan produktiviti IKS pada sidang Dewan Negeri Undangan (DUN) Selangor, hari ini.

Chang Kim berkata, antara lima bidang digitalisasi yang menerima permohonan paling banyak adalah pemasaran digital (40.7 peratus), diikuti sistem perakaunan (20.9 peratus), sumber manusia dan sistem payroll (16.6 peratus), e-dagang (10.7 peratus) dan E-PoS System (11.2 peratus).

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Rizam Ismail (BN-Sungai Air Tawar) mengenai rumusan komprehensif Selangor International Business Summit (SIBS) yang dianjurkan setiap tahun, Chang Kim berkata, ia bagi menyediakan satu platform perbincangan dan perkongsian maklumat kepada usahawan IKS supaya dapat bersaing pada peringkat antarabangsa.

"SIBS 2021 yang baru selesai dianjurkan secara fizikal pada 18 hingga 21 November lalu di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) menyediakan 472 tapak pameran dan menerima lebih 25,000 pengunjung," katanya.

Beliau berkata, SIBS 2021 akan diteruskan di portal perdagangan rasmi Selangor iaitu www.selangorbusinesshub.my selama setahun.

Berita Harian X