Selasa, 30 November 2021 | 10:43am
Muhammad Hanif Mat Zain, 28, bersama produk popia pisang dihasilkannya. - BERNAMA
Muhammad Hanif Mat Zain, 28, bersama produk popia pisang dihasilkannya. - BERNAMA

Lulusan Sains Kimia jual popia

KUALA TERENGGANU: Seorang usahawan makanan, Muhammad Hanif Mat Zain tidak pernah menyesal memilih bidang perniagaan sebagai kerjaya biarpun memiliki segulung ijazah dalam bidang Sains Kimia.

Anak muda berasal dari Batu Rakit, Kuala Nerus ini sebaliknya amat bersyukur dan menganggap ia keputusan tepat walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan halangan sebelum perniagaan popia pisang (Popis) yang diinovasikan daripada makanan ringan popular Indonesia, dikenali serta diterima ramai.

Mengimbas detik awal berniaga, Muhammad Hanif, 28, berkata beliau bermula dengan menjual karipap di gerai di hadapan rumah kakaknya selepas usaha mendapatkan pekerjaan dalam bidang sesuai menemui jalan buntu.

"Saya memang tidak berhasrat untuk mencari pekerjaan di luar Terengganu kerana ingin dekat dengan keluarga dan juga tidak sukakan suasana sibuk seperti di Kuala Lumpur. Bagaimanapun agak sukar untuk mencari pekerjaan sebagai ahli kimia di sini (Terengganu), jika ada pun, peluangnya sangat terhad.

"Untuk mengisi masa lapang dan mencari duit poket, saya memilih untuk berniaga karipap dan menjadi wakil drop-ship (pesan hantar) seperti telekung dan pakaian, tetapi semuanya gagal sehingga membuatkan saya hampir berputus asa," katanya.

Katanya, beliau mendapat idea untuk menjual Popis ketika menikmati pisang goreng keju dan teringat di Indonesia pula popular dengan popia pisang, maka hasil gabungan kedua-dua menu itu dihasilkan menjadi Popis.

Beliau berkata, berkat kesabaran, doa keluarga dan sokongan daripada agensi kerajaan seperti Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), beliau mampu 'bertatih' dan mengukuhkan jenama Popis yang mula dibina pada 2016.

Graduan Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini berkata, Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) umpamanya amat membantu peniaga tempatan memperkenalkan jenama produk masing-masing, sekali gus melonjakkan lagi jualan terutama selepas terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

"KBBM juga sangat bagus dalam mendidik rakyat supaya lebih peka dan menghargai produk keluaran tempatan yang berkualiti. Secara tidak langsung, ia menyemai semangat patriotisme dalam diri masing-masing, sekali gus membina rantaian ekonomi dalam negara yang lebih kukuh dan tersusun.

"Saya sebenarnya sangat teruja untuk menyertai karnival atau kempen sebegini yang diadakan oleh KPDNHEP di pasar raya atau pusat beli-belah seluruh negara kerana ia akan memberi manfaat besar kepada usahawan kecil seperti saya," katanya yang masih belum berkeluarga.

Muhammad Hanif berkata, beliau juga amat beruntung kerana terpilih menyertai program Usahawan Graduan Terengganu Sejahtera (U-GATES) anjuran YPU pada 2018.

Melalui program terbabit, katanya, banyak ilmu berkaitan perniagaan dapat dipelajari, terutama dalam pengurusan kewangan, sumber manusia dan risiko luar jangka yang menentukan jatuh bangun sesebuah perniagaan.

Malah, geran RM12,000 yang diterima melalui program itu juga digunakan untuk membeli peralatan memasak yang lebih moden bagi memudahkan proses penyediaan serta meningkatkan kualiti produk popia pisangnya supaya lebih diterima di pasaran.

"Permulaan saya dalam bidang ini adalah secara bidan terjun, kosong dan langsung tidak ada asas. Oleh itu, pelbagai kursus dalam masa setahun yang diberikan sangat membantu saya menguruskan perniagaan dengan lebih teratur dan sistematik.

"Nasihat saya kepada usahawan baharu, sentiasalah merujuk dan mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan berkaitan kerana mereka lebih pakar dan sentiasa sedia membantu," katanya yang memiliki dua cawangan Popis, iaitu di Batu Rakit dan Kuala Terengganu.

Muhammad Hanif berkata, beliau bercita-cita untuk membuka enam lagi cawangan di enam daerah untuk memberi peluang kepada lebih ramai masyarakat menikmati rasa popia pisang yang unik dan lazat itu.

"Saya menerima banyak permintaan daripada kawan-kawan yang berminat untuk menjadi rakan francais, tetapi buat masa ini saya belum terbuka hati kerana jenama kami belum betul-betul kukuh, masih perlu banyak penambahbaikan," katanya.

Beliau telah mempatenkan jenama Popis dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). - BERNAMA

Berita Harian X