Selasa, 30 November 2021 | 7:20am
Pengunjung meluangkan masa di Taman Prince Phillip Tanjung Aru, selepas Kota Kinabalu mencatat penurunan kes COVID-19. - Foto NSTP/MOHD ADAM ARININ
Pengunjung meluangkan masa di Taman Prince Phillip Tanjung Aru, selepas Kota Kinabalu mencatat penurunan kes COVID-19. - Foto NSTP/MOHD ADAM ARININ

Kinabatangan catat kes tertinggi di Sabah

KOTA KINABALU: Daerah Kinabatangan mencatat jumlah baharu kes COVID-19 tertinggi di Sabah, semalam iaitu sebanyak 85 kes.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata peningkatan jumlah kes di daerah terbabit berpunca daripada satu kluster yang sedia ada.

"Jumlah yang tinggi ini berpunca daripada Kluster Sawit Mania yang menyumbang 84 kes baharu.

"Kes yang melibatkan Kluster Sawit Mania ialah kes yang berlaku dua hari lalu tetapi baru direkodkan semalam selepas pengesahan keputusan ujian," katanya.

Masidi berkata, sebanyak 20 daerah di Sabah mencatatkan kes satu angka dengan lima daripadanya mencatatkan sifar kes.

"Enam daerah mencatatkan penurunan signifikan iaitu Kota Kinabalu 59 kes, Ranau (8) kes; Tuaran (44); Beluran (0); Penampang (25) dan Kota Belud (23) kes.

"Hanya tiga daerah di Sabah mencatatkan peningkatan kes baharu, iaitu Keningau (11) kes dan Tenom (7) kes, termasuk Kinabatangan yang mencatatkan pertambahan yang tinggi daripada Kluster Sawit Mania.

"Empat lagi daerah kekal seperti yang direkodkan pada Ahad lalu, iaitu Tawau sebanyak lima kes. Daerah Semporna, Nabawan dan Kunak masing-masing mencatatkan sebanyak sifar kes," katanya dalam kenyataan, semalam.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian COVID-19 semalam kekal mencatatkan sebanyak tiga angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini (semalam) sebanyak 342 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 232,832 kes.

"Sebanyak dua kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu masing-masing satu kes di Kota Marudu dan Ranau.

"Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 323 menjadikan jumlah kumulatif 222,251 orang.

"Seramai 1,435 pesakit sedang menerima rawatan, iaitu 620 orang di hospital, 789 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 24 orang di pusat tahanan sementara dan dua orang di fasiliti swasta," katanya.

Berita Harian X