Isnin, 29 November 2021 | 11:50am

Sarawak paling tinggi terima dos penggalak

KUALA LUMPUR: Sarawak menjadi negeri penerima dos penggalak paling tinggi, apabila 30.4 peratus penduduk dewasanya sudah menerima dos berkenaan, setakat Sabtu lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata ini meliputi 602,180 penduduk dewasa di negeri itu.

"Sarawak negeri pertama melaksanakan dos penggalak dan dos tambahan bermula 13 Oktober lalu.

"Kadar sasaran pemberian dos penggalak bagi Sarawak ialah 2,042,700 individu," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) yang bertanya sejauh manakah Program Imunisasi Vaksin COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi negeri Sarawak dan Parlimen Igan.

Menjelas lanjut, Dr Noor Azmi berkata, bagi liputan vaksin negeri Sarawak, sehingga 27 November, sebanyak 75 peratus penduduk negeri itu sudah mendapat dos lengkap vaksin.

Katanya, ia meliputi 91.1 peratus penduduk dewasa berusia 18 tahun ke atas dan 85.9 peratus golongan remaja.

Bagi Parlimen Igan pula, beliau berkata, sejumlah 86.9 peratus penduduk di kawasan itu telah menerima dos lengkap vaksin setakat 25 November lalu. – BERNAMA

Penduduk Sarawak paling ramai menerima suntikan dos penggalak. - Foto hiasan NSTP/NADIM BOKHARI
Penduduk Sarawak paling ramai menerima suntikan dos penggalak. - Foto hiasan NSTP/NADIM BOKHARI
Berita Harian X