Rabu, 24 November 2021 | 4:54pm
Mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Gunung berikutan kawasan itu ditenggelami air sejak malam tadi - Foto NSTP/Ihsan APM
Mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Gunung berikutan kawasan itu ditenggelami air sejak malam tadi - Foto NSTP/Ihsan APM

Mangsa banjir dipindahkan di Kedah meningkat kepada 95

ALOR SETAR: Mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 95 orang daripada 26 keluarga yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah di negeri ini setakat jam 4 petang hari ini.

Ini menjadikan jumlah mangsa meningkat berbanding 93 mangsa daripada 25 keluarga yang dilaporkan pada jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, PPS Sekolah Kebangsaan Gunung di daerah Kota Setar setakat ini menempatkan seramai 42 mangsa daripada 15 keluarga.

Beliau berkata, dua PPS di daerah Kubang Pasu pula masih kekal seramai 58 mangsa daripada 12 keluarga.

"Mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Kampung Lahar di daerah Kubang Pasu masih kekal seramai 22 mangsa daripada empat keluarga.

"PPS Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang menempatkan 31 mangsa daripada tujuh keluarga.

"Berkemungkinan jumlah mangsa banjir di negeri ini akan meningkat bergantung pada trend kenaikan paras air selain perubahan cuaca yang berlaku," katanya di sini hari ini.

Berita Harian X