Ahad, 21 November 2021 | 12:02pm
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan. - NSTP/ARKIB
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan. - NSTP/ARKIB

500,000 penduduk Johor terima dos penggalak vaksin COVID-19

ISKANDAR PUTERI: Kira-kira 500,000 penduduk Johor akan menerima dos penggalak yang pemberiannya sedang giat dilaksanakan ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata jumlah berkenaan mengambil kira jumlah barisan hadapan, warga emas dan golongan komorbid yang berada di negeri ini.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 77,010 penduduk Johor telah menerima dos penggalak sehingga Jumaat lalu.

"Setakat Jumaat lalu, seramai 77,010 penduduk Johor telah menerima dos penggalak membabitkan 27,089 barisan hadapan, 38,111 warga emas, 5,583 golongan komorbid dan 6,227 lagi golongan 40 tahun ke atas dan lain-lain.

"Sehingga kini, golongan remaja dan pelajar sekolah belum disyorkan lagi untuk menerima dos penggalak, namun kerajaan Johor amat menggalakkan penerimaan dos penggalak ini dan mahu ia diperluaskan.

"Ketika ini, dos penggalak diutamakan kepada anggota barisan hadapan (kesihatan dan keselamatan), warga emas berusia 60 tahun ke atas, individu berusia 40 tahun ke atas dan golongan komorbid berusia 18 tahun ke atas.

"Kerajaan Johor menyasarkan pemberian dos penggalak kepada kira-kira 500,000 penduduk Johor yang layak, akan diselesaikan pada awal tahun depan sebelum ia diperluaskan kepada semua penduduk yang lain," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini.

Vidyananthan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang, berkata dos penggalak akan diperluaskan kepada semua penduduk Johor apabila melepasi tempoh yang disyorkan selepas menerima vaksin dos lengkap.

"Buat masa ini, pemberian dos penggalak dilaksanakan bagi penerima vaksin Cominarty sekurang-kurangnya enam bulan dari dos kedua dan penerima vaksin Sinovac sekurang-kurangnya tiga bulan dari dos kedua," katanya.

Beliau berkata, individu yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera selain menerusi pesanan ringkas kepada nombor telefon yang berdaftar bagi individu yang tidak mempunyai MySejahtera.

Berita Harian X