SEREMBAN: Individu dan syarikat yang terbabit dengan industri makanan di negeri ini diminta memohon sijil halal melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata bagi menggalakkan lebih ramai pemain industri memohon sijil halal, kerajaan negeri melalui JHEAINS mengambil pelbagai inisiatif untuk memudahkan permohonan berkenaan.
"Tahniah saya ucapkan kepada pihak restoran yang mengambil inisiatif untuk memohon serta melaksanakan langkah bagi mendapatkan pensijilan halal menerusi Program Cakna Halal anjuran Bahagian Pengurusan Halal JHEAINS.
"Saya ingin menjemput semua pihak yang berkenaan untuk memohon sijil halal melalui Bahagian Pengurusan Halal JHEAINS," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, bayaran pensijilan yang dikenakan bagi premis makanan hanya serendah RM100 setahun manakala bagi produk dan perkhidmatan, antara RM100 hingga RM1,000 tertakluk kepada saiz industri.
"Selain yuran yang rendah, JHEAINS akan turut memberikan tunjuk ajar mengenai Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020, iaitu manual yang diguna pakai di seluruh Malaysia," katanya.
Aminuddin berkata, pensijilan berkenaan penting kerana prosedurnya bukan hanya membabitkan sumber makanan yang halal, sebaliknya pemohon turut akan didedahkan dengan amalan kebersihan atau tayyib, perundangan serta lain-lain perkara berkaitan.
Pada 5 November lalu, JHEAINS mengeluarkan senarai hanya 15 hotel di negeri itu yang mempunyai sijil halal dengan 13 daripadanya di Port Dickson dan bakinya di Seremban.
JHEAINS turut memaklumkan senarai 12 rumah sembelihan yang memiliki sijil pengesahan halal Malaysia (SPHM).