Sabtu, 20 November 2021 | 2:29pm

Setiap 4 jam mendayung perahu lihat rumah

RANTAU PANJANG: "Saya hanya mampu melihat sayu kediaman yang masih dipenuhi banjir dan ia mungkin mengambil masa seminggu untuk benar-benar surut," luah Zakaria Mohd Noor, 50.

Selepas semalaman berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh, di sini, Zakaria kembali meredah banjir untuk meninjau keadaan rumahnya pagi tadi.

Katanya, walaupun air sedikit surut berbanding semalam, dia masih bimbang untuk kembali ke rumah kerana paras air masih lagi tinggi.

"Banjir kali ini agak pelik kerana cuaca sudah panas untuk dua hari ini, tetapi air masih pada paras yang tinggi. Saya syak ia susulan projek tebatan banjir yang dijalankan berdekatan penempatan terbabit menyebabkan aliran sungai menjadi perlahan.

"Namun, penempatan kami di Kampung Bendang Perol, ini sememangnya lokasi terawal banjir hampir setiap tahun susulan berada di kawasan rendah, jadi sudah biasa dengan keadaan sebegini.

"Setiap empat jam sekali saya mendayung perahu untuk datang melihat keadaan rumah, bimbang pintu yang dikunci terbuka akibat ditolak arus banjir," katanya yang juga bapa kepada lima cahaya mata berusia empat sehingga 21 tahun.

Zakaria berkata, dia hanya mampu berdoa semoga pakaian dan peralatan lain yang disimpan di atas para dalam rumah tidak ditenggelami air kerana tidak mampu mengangkut semuanya ke tempat selamat.

Zakaria menunjukkan kawasan rumahnya yang dilanda banjir di Kampung Bendang Perol, Rantau Panjang. - NSTP/Syaherah Mustafa
Zakaria menunjukkan kawasan rumahnya yang dilanda banjir di Kampung Bendang Perol, Rantau Panjang. - NSTP/Syaherah Mustafa
Berita Harian X