Sabtu, 20 November 2021 | 2:28pm
Aminuddin menyerahkan geran hak milik kepada penduduk Kampung Serampang Indah (Kampung Gatco) di Dewan Pejabat Daerah dan Tanah Jempol.- NSTP/ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Aminuddin menyerahkan geran hak milik kepada penduduk Kampung Serampang Indah (Kampung Gatco) di Dewan Pejabat Daerah dan Tanah Jempol.- NSTP/ABNOR HAMIZAM ABD MANAP

34 penduduk Kampung Gatco terima geran tanah

JEMPOL: "Ibu mentua sudah pasti gembira apabila menerima geran hak milik tanah ini kerana lebih 40 tahun dia dan mendiang suaminya menunggu.

"Sepatutnya ibu mentua menerima geran pada Mac tahun lalu, namun tidak dapat berbuat demikian kerana dimasukkan ke wad akibat penyakit darah tinggi dan kencing manis," kata S Tamilrasi, 42, dari Kampung Serampang Indah (Kampung Gatco).

Katanya, ibu mentuanya, V Perumayee, 79, kini tidak boleh bercakap akibat penyakit dihidapinya dan berkerusi roda untuk bergerak.

"Ibu mentua antara 34 penerima hak milik dari Kampung Serampang Indah pada penyerahan fasa ketiga kali ini," katanya.

Sebelum ini, 139 penduduk menerima hak milik pada fasa pertama dan 38 pada fasa kedua.

Majlis penyerahan di Dewan Pejabat Daerah dan Tanah Jempol itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong dan Pegawai Daerah Jempol, Nawal Mohamed Amin.

Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri tidak lagi bercadang membuat penyerahan hak milik secara berfasa selepas ini.

Katanya, selepas 31 Disember ini, penduduk yang mahu mendapatkan hak milik perlu menanggung semua kos bayaran berkaitan.

"Penduduk sudah diberi ruang secukupnya selama dua tahun bagi membolehkan hak milik diterima tanpa sebarang kos bayaran dan selepas ini pentadbiran pejabat daerah dan tanah juga perlu memberi perhatian pemberian hak milik kawasan lain seperti FELDA Raja Alias dan Air Hitam.

"Seramai 149 penduduk Kampung Serampang Indah menerima 1.6 hektar tanah, manakala 62 menerima 0.8 hektar," katanya.

Isu Ladang Gatco bermula selepas pemilik asal tanah seluas 2,000 hektar itu, iaitu Syarikat Gula Negeri Sembilan ditutup dan ladang tebu milik syarikat itu dilupuskan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) secara pajakan 99 tahun.

PKNNS kemudian memajakkan tanah itu selama 66 tahun kepada syarikat The Great Allonioners Trading Corporatiom Berhad (GATCO) yang kemudian menjadikan kawasan itu sebagai tanah rancangan.

Syarikat berkenaan membawa masuk peserta yang ditawarkan tapak rumah dan kebun seluas empat hektar setiap seorang dengan bayaran antara RM4,000 hingga RM7,000.

Pada awalnya, kawasan itu dirancang dijadikan ladang getah, namun GATCO menghadapi masalah kewangan menyebabkan projek terbengkalai.

Tanah syarikat berkenaan kemudian dilelong pada 2004 sebelum dibeli sebuah syarikat Thamarai Holdings Sendirian Berhad.

Isu kemudian timbul apabila penduduk asal yang membayar ketika memasuki tanah rancangan itu tidak dapat memiliki tanah sehingga kes dibawa ke mahkamah.

Kerajaan negeri ketika itu kemudian campur tangan sebelum memutuskan setiap penduduk atau peneroka asal menerima tanah seluas 1.6 hektar dan penduduk yang membeli daripada peneroka asal seluas 0.8 hektar.

Berita Harian X