X
Sabtu, 20 November 2021 | 11:06am
Muhammad Amri melihat anak kambingnya yang mati kerana dibaham babi hutan. - Foto Ahmad Rabiul Zulkifli
Muhammad Amri melihat anak kambingnya yang mati kerana dibaham babi hutan. - Foto Ahmad Rabiul Zulkifli

Babi hutan mengganas baham anak kambing

KUALA TERENGGANU: Seorang penternak di sini, kerugian lebih RM10,000 apabila ternakannya seperti kambing, itik dan ayam mati dibaham babi hutan.

Muhammad Amri Azmi, 30, dari Kampung Merbau Patah, di sini, mendakwa, lebih 20 ekor haiwan liar itu sering menjadikan haiwan ternakannya sebagai mangsa sejak 2012.

Beliau sudah mengambil pelbagai inisiatif bagi menyelesaikan masalah babi hutan di kawasan ternakannya termasuk memasang pagar elektrik namun tetap gagal menyelesaikan masalah itu.

"Tergamam saya melihat anak kambing mati sambil terkeluar isi perut berhampiran kandang pagi ini. Saya sudah buntu memikirkan kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah berkenaan dan tidak sanggup menanggung kerugian.

"Pada 2018, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pernah memasang perangkap babi di kawasan itu. Bagaimanapun perangkap itu mengalami kerosakan dan gagal menangkap babi hutan yang berkeliaran.

"PERHILITAN berjanji meletakkan perangkap lain untuk menyelesaikan masalah itu tetapi sehingga sekarang tiada tindakan dibuat," katanya.

Muhammad Amri berkata, babi hutan itu bukan sahaja membaham haiwan ternakan tetapi juga turut memusnahkan tanaman penduduk di situ.

"Pokok kelapa dan keladi penduduk sekitar banyak yang rosak membuatkan segelintir penduduk tidak berminat untuk menanam pokok di sekitar rumah.

"Babi hutan yang berkeliaran di kawasan ini dianggarkan berjumlah lebih 20 ekor dan dijangka akan terus bertambah sekiranya dibiarkan.

"Dibimbangi babi itu bertindak agresif dan menyerang penduduk termasuk kanak-kanak yang bermain di luar rumah," katanya.

Berita Harian X