Sabtu, 16 Oktober 2021 | 10:02pm
- Foto hiasan NSTP
- Foto hiasan NSTP

Sabah bimbang kes COVID-19 naik balik

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bimbang kes jangkitan COVID-19 di negeri ini mungkin meningkat semula berikutan kelonggaran pergerakan menerusi kebenaran rentas daerah bermula kelmarin dan peralihan ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), bermula Isnin ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata kebimbangan itu berdasarkan kes jangkitan sporadik atau tidak diketahui punca yang menunjukkan peratusan agak tinggi seperti dilaporkan hari ini.

Beliau berkata, hampir 39 peratus atau 247 orang daripada 639 kes baharu COVID-19 di Sabah hari ini adalah kes sporadik berdasarkan jumlah kes individu bergejala yang tidak diketahui punca jangkitan.

Katanya, kes sporadik berlaku disebabkan kelalaian individu tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika berada dalam khalayak ramai.

"Peralihan Sabah ke Fasa 3 PPN yang membenarkan lebih banyak aktiviti sosial dan ekonomi bermula Isnin ini berkemungkinan akan meningkatkan risiko jangkitan virus secara sporadik," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, berkata keberkesanan pengambilan vaksin dalam mencegah jangkitan COVID-19 di negeri ini sudah dapat dilihat berdasarkan kategori pesakit yang dilaporkan setiap hari.

Katanya, individu yang sudah divaksin lengkap memiliki imuniti yang lebih tinggi dan jika dijangkiti kebanyakannya hanya berada dalam Kategori 1 dan Kategori 2.

"Daripada 639 kes baharu hari ini hanya dua pesakit dalam Kategori 5 dan lima dalam Kategori 4. Pesakit dalam dua kategori ini adalah mereka yang memerlukan penjagaan rapi kesan jangkitan virus COVID-19.

"Bagi pesakit Kategori 3 pula, hanya tiga orang dilaporkan hari ini, manakala 546 pesakit (85.5 peratus) dalam Kategori 2 dan 56 orang (8.8 peratus) dalam Kategori 1," katanya.

Hari ini Sabah mencatat 639 kes baharu COVID-19, turun 81 kes berbanding 720 kes semalam, manakala sebanyak 12 kes kematian iaitu tiga kes di Sandakan dan Semporna manakala Beaufort, Kota Kinabalu, Kota marudu, Pitas, Tambunan dan Tuaran masing-masing mencatatkan satu kes kematian.

Berita Harian X