Ahad, 10 Oktober 2021 | 7:55pm
Perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi akan ditambah Sabtu ini. - Foto NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN
Perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi akan ditambah Sabtu ini. - Foto NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN

Feri ke Langkawi ditambah Sabtu ini

ALOR SETAR: Perkhidmatan feri dari Terminal Kuala Kedah ke Langkawi akan ditambah bermula Sabtu ini.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom, berkata setakat minggu ini, laluan dari Kuala Kedah masih kekal satu trip.

Beliau berkata, perjalanan dari Terminal Kuala Perlis ke Langkawi pula masih kekal dua trip sehari.

"Kita akan menambah trip bagi laluan Kuala Kedah ke Langkawi bermula 16 Oktober ini disebabkan faktor air pasang surut ketika ini.

"Alur pelayaran Kuala Kedah dan Kuala Perlis buat masa ini kembali diliputi oleh lumpur dan saya harap kerja mendalamkan alur pelayaran ini dapat dilakukan secepat mungkin," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Baharin berkata, pihaknya belum pasti sama ada prosedur operasi standard (SOP) untuk masuk ke Langkawi masih dikekalkan, iaitu semua pelancong yang akan masuk ke Langkawi masih diwajibkan menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19.

Katanya, ketika ini ujian saringan RT-PCR atau RTK-Antigen perlu dilakukan di mana-mana fasiliti kesihatan serta makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas.

Pergerakan merentas negeri dibenarkan mulai esok.

Berita Harian X