Isnin, 27 September 2021 | 2:21pm
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Jaya, Kong Wei Shun Justin, 16, menerima suntikan vaksin COVID-19, di Pulau Pinang. - Foto hiasan NSTP/DANIAL SAAD
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Jaya, Kong Wei Shun Justin, 16, menerima suntikan vaksin COVID-19, di Pulau Pinang. - Foto hiasan NSTP/DANIAL SAAD

Lebih 138,000 remaja terima vaksin di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Kira-kira 138,000 remaja 12 tahun hingga 17 tahun akan mendapat pelalian terhadap COVID-19, bermula awal bulan depan.

Daripada jumlah itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong, berkata seramai 101,000 pelajar sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) dan pelajar sekolah swasta.

"Semua remaja berusia antara 12 tahun hingga 17 tahun itu akan menerima suntikan vaksin dos pertama selewat-lewatnya 6 Oktober depan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengenai program suntikan vaksin COVID-19, kepada pelajar berusia 16 dan 17 tahun, Dr Kasemani berkata, seramai 30,494 pelajar di seluruh negeri sudah menerima suntikan vaksin dos pertama.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Kasemani berkata, Jabatan Kesihatan Terengganu membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Stadium Tertutup Gong Badak, mulai semalam.

Katanya, PKRC baharu di Stadium Tertutup Gong Badak, di Kuala Nerus, boleh memuat 1,200 katil.

"Pembukaan PKRC baharu ini bukanlah bermaksud situasi COVID-19 di negeri ini semakin teruk," katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, PKRC baharu itu dibuka susulan penutupan tiga PKRC di institut pendidikan tinggi awam yang akan menerima kemasukan pelajar.

"Tiga PKRC yang ditutup secara berperingkat sejak bulan lalu ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Chendering, Kuala Terenganu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Nerus dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan di Besut," katanya.

Berita Harian X