Khamis, 23 September 2021 | 9:49pm
Seramai 3,714 pesakit COVID-19 masih menerima rawatan di Sabah. - Gambar hiasan NSTP/EFFENDY RASHID
Seramai 3,714 pesakit COVID-19 masih menerima rawatan di Sabah. - Gambar hiasan NSTP/EFFENDY RASHID

Pekerja cetus kluster baharu

KOTA KINABALU: Seorang pekerja syarikat pemulihan hutan yang dijangkiti COVID-19 mencetuskan satu lagi kluster baharu di Sabah, Kluster Batu 46 Tulid.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster yang dikenal pasti di Keningau itu ialah kluster jenis tempat kerja.

Menurutnya, kluster terbabit menular dalam kalangan pekerja dan keluarga pekerja di sebuah syarikat pemulihan hutan di Mukim Tulid, Sook.

"Kes indeks ialah pekerja lelaki, 33, yang dikesan positif COVID-19 hasil saringan tempat kerja pada 19 September lalu.

"Saringan kontak rapat yang dilakukan bermula 19 hingga 22 September menunjukkan pertambahan bilangan kes positif.

"Punca yang disyaki bagi penularan kluster ini ialah jangkitan daripada komuniti yang merebak kepada pekerja di dalam kem syarikat pemulihan hutan itu.

"Setakat hari ini, jumlah kumulatif kes positif ialah 48 kes, termasuk 27 kes baharu yang membabitkan Mukim Tulid dan Sook di Keningau," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini sebanyak 1,629 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 190,951 kes.

"Sebanyak lapan kes kematian dilaporkan pada hari ini, iaitu empat kes di Sandakan, dua kes di Lahad Datu dan masing-masing satu kes di Kota Kinabalu dan Nabawan.

"Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 446 menjadikan jumlah kumulatif 166,304 orang.

"Seramai 3,714 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,309 orang di hospital, 2,329 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 70 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS), manakala enam orang di fasiliti swasta," katanya.

Berita Harian X