Isnin, 20 September 2021 | 12:39pm

Nur Alina hanya mampu terbaring

PASIR PUTEH: Kepetahan Nur Alina Mohamad Saiful menutur kata dan senyuman yang tidak pernah lekang setiap kali disapa, pasti menyenangkan sesiapa yang mendekatinya.

Namun, keadaan fizikal Nur Alina, tiga tahun lima bulan tidak seperti kanak-kanak lain yang mampu bergerak bebas kerana penyakit hydrocephalus atau lebihan cecair dalam otak dihidapi menyebabkan saiz kepalanya lebih besar dan hanya mampu terbaring.

Menurut ibunya, Miss Nurkasuemawati Abdullah, 25, anak bongsu daripada tiga beradik itu mula dikesan menghidap penyakit itu ketika berusia tiga bulan selepas melihat perubahan saiz kepalanya lebih besar dan tidak seperti bayi normal.

Katanya, meningkat usia lima bulan, benjolan di bahagian kiri serta kanan kepala Alina dilihat semakin ketara menyebabkan dia dan suami, Mohamad Saiful Isahak, 32, membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.

"Disebabkan penyakit itu, anak saya perlu menjalani pembedahan VP Shunt di Hospital USM Kubang Kerian untuk memasukkan tiub di dalam kepala hingga ke pundi kencing bagi membuang lebihan air di dalam kepala.

"Sejak dari itu, anak saya sudah menjalani lima pembedahan VP Shunt iaitu seawal usianya enam bulan sehingga dua tahun. Saiz kepalanya kini adalah 64 sentimeter dan tidak lagi membesar," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Air Tawar, Tok Bali, di sini, hari ini.

Katanya, pada masa sama, Nur Alina juga menghidap penyakit saraf yang menyebabkan anggota kiri badannya tidak boleh digerakkan.

"Setiap sebulan atau tiga bulan sekali anak saya perlu menghadiri janji temu di Hospital USM dan Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk menjalani pemeriksaan dengan doktor pakar serta rawatan fisioterapi," katanya.

Miss Nurkasuemawati berkata, setiap bulan dia perlu membelanjakan hampir RM1,000 untuk keperluan Nur Alina termasuk lampin pakai buang dan susu khas berharga RM64 yang mampu bertahan untuk tiga hari sahaja.

"Anak saya hanya bergantung kepada susu yang diberikan empat atau lima kali sehari selain diberi makan bijiran dan makanan lembut.

"Suami saya hanya menjaja ikan dan memperoleh pendapatan bulanan tidak menentu dianggarkan RM700 sahaja. Ia sekadar cukup makan untuk kami lima beranak dan kini saya juga sedang sarat mengandung anak keempat.

"Mujur ada bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung.

"Buat masa ini, saya dan suami hanya berusaha dan berdoa Allah SWT supaya segala urusan kami sekeluarga dipermudahkan," katanya.

Miss Nurkasuemawati Abdullah (kanan) dan Mohamad Saiful Isahak (kiri) memangku Nur Alina yang menghidap penyakit hydrocephalus atau lebihan cecair dalam otak menyebabkan saiz kepalanya lebih besar.- Foto/ Hazira Ahmad Zaidi
Miss Nurkasuemawati Abdullah (kanan) dan Mohamad Saiful Isahak (kiri) memangku Nur Alina yang menghidap penyakit hydrocephalus atau lebihan cecair dalam otak menyebabkan saiz kepalanya lebih besar.- Foto/ Hazira Ahmad Zaidi
Berita Harian X