Jumaat, 17 September 2021 | 3:24pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Terengganu peruntuk RM1.5 juta hadapi banjir

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM1.5 juta bagi menghadapi bencana banjir pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, berkata peruntukan itu akan dibelanjakan untuk membeli makanan kering membabitkan berjumlah RM500,000, manakala RM1 juta untuk bekalan makanan bermasak.

Katanya, Kerajaan Persekutuan turut menyediakan peruntukan RM1.5 juta untuk bekalan keperluan harian seperti selimut, kain tuala, kain batik, toto, berus gigi dan tuala wanita.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sudah mengenal pasti 575 pusat pemindahan sementara (PPS) yang boleh menampung 146,200 mangsa akan dibuka di seluruh negeri.

"Disebabkan penularan pandemik COVID-19 dan penjarakan sosial masih dikuat kuasakan, kerajaan negeri memutuskan mengurangkan kapisiti muatan kepada 73,100 mangsa," katanya kepada BH, hari ini.

Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Chukai berkata, bagi mengekang penularan pandemik COVID-19, semua operasi dan aktiviti di PPS akan menggunakan Garis Panduan Pengurusan PPS Semasa COVID-19 disediakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Katanya, JKM negeri juga mempunyai satu depoh penyimpanan barangan keperluan, selain menyediakan 17 mini depoh.

"Sebanyak 152 pangkalan hadapan dikenal pasti kerajaan negeri sebagai persiapan menghadapi bencana banjir dijangka melanda negeri ini antara akhir bulan depan hingga awal tahun depan.

"JKM negeri juga sedang dalam proses pembelian dan pengagihan keperluan barangan bencana kepada semua daerah untuk ditempatkan semua pangkalan hadapan bermula awal bulan depan," katanya.

Mengulas penghantaran barangan ke penempatan sukar dilalui terutama pada musim tengkujuh, Hanafiah berkata, bekalan keperluan makanan bencana dihantar ke Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Kampung Pasir Raja Dungun, pertengahan bulan depan.

Katanya, bekalan keperluan makanan akan dihantar ke kawasan itu hanya mencukupi untuk tempoh tiga hingga lima hari.

"Jika berlaku keperluan tambahan, pembelian barangan kepada mangsa banjir yang tinggal di kawasan berkenaan akan dilakukan serta-merta," katanya.

Berita Harian X