Rabu, 15 September 2021 | 11:04am

Pembinaan Jambatan Palekbang bermula akhir tahun

TUMPAT: Pembinaan Jambatan Palekbang yang menghubungkan Tumpat dan Kota Bharu dengan kos dianggarkan lebih RM300 juta akan bermula selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Pengurus Besar (Bahagian Pelaksanaan Projek) Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Arizan Arifin, berkata kos itu membabitkan pembangunan termasuk pembinaan, pengambilan tanah dan perundingan.

"Ketika ini, proses akhir penilaian membabitkan jambatan sepanjang lebih empat kilometer itu sedang dibuat dan tender pelaksanaan projek dijangka dibuka Oktober depan.

"Kami mendapat kerjasama baik daripada kerajaan negeri berhubung pelaksanaan pembinaan jambatan itu terutama yang berkait rapat dengan urusan pengambilan tanah di lokasi berkenaan.

"Pembinaan jambatan empat lorong itu bukan hanya mampu menguraikan aliran trafik bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, malah memberikan impak besar terhadap ekonomi penduduk setempat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau pelaksanaan projek pembinaan Masjid Kampung Laut di sini.

Mengulas lanjut, Arizan berkata, pembinaan jambatan itu juga selari dengan hasrat ECERDC untuk mempergiat kempen promosi beberapa ikon produk pelancongan negeri khususnya yang terletak di daerah Tumpat.

"Pembinaannya menghubungkan Penambang (Kota Bharu) ke Kampung Laut (Tumpat) dan kita jangka mampu menarik ramai kemasukan pelabur, sekali gus merancakkan aktiviti pelancongan," katanya.

Mengenai status pembinaan Masjid Kampung Laut yang turut tersenarai dalam pembangunan semula Kampung Laut, beliau berkata, pembinaan yang menelan belanja kira-kira RM20 juta itu sudah siap 66 peratus dan dijangka selesai menjelang Mac tahun depan.

Pengurus Besar (Bahagian Pelaksanaan Projek) Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Arizan Arifin (kiri) melawat lokasi projek pembinaan Jambatan Palekbang yang akan bermula selewat-lewatnya hujung tahun ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Pengurus Besar (Bahagian Pelaksanaan Projek) Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Arizan Arifin (kiri) melawat lokasi projek pembinaan Jambatan Palekbang yang akan bermula selewat-lewatnya hujung tahun ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X