Isnin, 13 September 2021 | 9:26pm
Petugas pengurusan jenazah menjalani proses disinfeksi yang di Tanah Perkuburan Islam Keramat. - Foto hiasan NSTP/MOHD ADAM ARININ
Petugas pengurusan jenazah menjalani proses disinfeksi yang di Tanah Perkuburan Islam Keramat. - Foto hiasan NSTP/MOHD ADAM ARININ

39 kematian di Sabah

KOTA KINABALU: Jumlah kematian harian akibat COVID-19 di Sabah bukan bermaksud pesakit maut dalam tempoh 24 jam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata sesetengah kes kematian mengambil tempoh masa untuk disahkan sebelum dilaporkan.

"Bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam ini. Ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenai kes COVID-19 di Sabah, Masidi berkata kes keseluruhan hari ini mengalami penurunan iaitu 1,649 kes berbanding semalam yang sebanyak 1,717 kes.

"Selain itu, kes di Kota Kinabalu naik semula kepada 314 kes kemudian diikuti Penampang (165); Tuaran (143); Sandakan (138); dan Lahad Datu (108) kes.

"Terdapat 44 kes melibatkan Orang Kena Tahan (OKT) yang dicatat hari ini, termasuk 18 kes dari Pusat Latihan Henry Gurney dan 18 kes lagi daripada Penjara Kepayan," katanya.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes kematian COVID-19 kekal sebanyak dua angka iaitu 39 kematian.

"Antara kematian yang direkodkan ialah enam kes di Sandakan dan Tawau, lima kes di Kota Belud dan Tuaran, empat kes di Kota Kinabalu, dua kes di Lahad Datu dan Papar manakala Sipitang, Kudat, Kinabatangan, Kunak, Pitas, Keningau, Penampang, Kalabakan dan Beluran masing-masing mencatatkan satu kes.

"Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 2,085 menjadikan jumlah kumulatif 148,248 orang.

"Seramai 4,613 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,565 orang di hospital, 2,976 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 62 orang di Pusat Tahanan Sementara, manakala 10 orang di kemudahan swasta," katanya.

Berita Harian X