Sabtu, 11 September 2021 | 8:48pm
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun

Tahanan Depot Imigresen punca kes tinggi di Sabah

KOTA KINABALU: Pengesanan kes COVID-19 dalam kalangan tahanan Depot Imigresen Kota Kinabalu menjadi punca daerah ini mencatatkan kenaikan jumlah kes paling tinggi di Sabah, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kes di Kota Kinabalu naik mendadak hari ini daripada 302 kes semalam kepada 449 kes.

"Kenaikan kes ini berpunca daripada 134 kes baharu dalam kalangan tahanan di Depot Imigresen Kota Kinabalu. Terdapat juga 153 kes membabitkan Orang Kena Tahan (OKT) di seluruh negeri Sabah hari ini.

"Ini diikuti daerah Kota Marudu dengan 155 kes, Ranau (85); Kalabakan (56); dan Putatan (35) kes. Tetapi, jumlah kes di Kinabatangan turun 18 kes hari ini, diikuti Lahad Datu (114); Tuaran (112) dan Kota Belud (56) kes.

"Walaupun berlaku penurunan kes yang banyak di beberapa daerah, terdapat daerah lain mencatatkan peningkatan kes," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri turut berkata, jumlah kes harian COVID-19 hari ini kekal empat angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah 2,163 kes, menjadikan jumlah kumulatif 172,146 kes.

"Sebanyak 53 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu 22 kes di Sandakan, Tawau (enam), Penampang (lima), Kota Belud (empat), Keningau, Tuaran dan Kota Kinabalu (masing-masing tiga), Kinabatangan (dua) manakala Semporna, Tenom, Tongod, Telupid dan Pitas masing-masing satu kes.

"Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 2,009, menjadikan jumlah kumulatif 146,298 orang.

"Seramai 4,850 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,641 orang di hospital, 3,120 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 83 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) manakala enam orang di fasiliti swasta," katanya.

Berita Harian X