Jumaat, 20 Ogos 2021 | 9:17am
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) terus menggiatkan pemberian vaksin di seluruh negeri bagi mempercepatkan usaha mencapai imuniti kelompok 80 peratus penduduk dewasa lengkap dua dos vaksin menjelang akhir tahun ini. - Foto NSTP hiasan
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) terus menggiatkan pemberian vaksin di seluruh negeri bagi mempercepatkan usaha mencapai imuniti kelompok 80 peratus penduduk dewasa lengkap dua dos vaksin menjelang akhir tahun ini. - Foto NSTP hiasan

25.8 peratus penduduk dewasa Sabah lengkap vaksinasi

KOTA KINABALU: Sabah setakat ini baru mencapai 25.8 peratus penduduk dewasa sudah menerima vaksin COVID-19 lengkap dua dos suntikan.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata sebanyak 48.4 peratus penduduk dewasa pula sudah menerima satu dos suntikan.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) terus menggiatkan lagi pemberian vaksin di seluruh negeri bagi mempercepatkan usaha mencapai imuniti kelompok 80 peratus penduduk dewasa lengkap dua dos vaksin menjelang akhir tahun ini.

"JKNS mencatat satu rekod baharu dalam keupayaan mereka memberikan vaksin dengan sebanyak 62,365 dos sehari berjaya diberikan kepada penerima vaksin semalam (kelmarin)," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Bagi pemberian vaksin semalam, katanya JKNS berjaya memberi 24,205 suntikan untuk fasa dua dos pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan jumlah kumulatif sebanyak 1,319,080 orang.

Beliau berkata, bagi suntikan dos kedua pula, sebanyak 31,603 suntikan baharu harian dibuat menjadikan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 664,900 orang.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata Sabah kekal mencatat kes baharu COVID-19 yang tinggi dengan sebanyak 2,583 kes dilaporkan semalam.

Katanya, sebanyak 11 kes kematian akibat COVID-19 turut dilaporkan iaitu empat kes di Tawau, diikuti tiga kes di Kota Kinabalu, dua kes di Keningau dan masing-masing satu kes di Ranau serta Tuaran.

Berita Harian X