Khamis, 12 Ogos 2021 | 8:01am

Kuarters padat cetus kluster kilang di Keningau

KOTA KINABALU: Keadaan kuarters atau rumah sewa pekerja yang padat dengan penghuni sekali lagi menjadi punca penularan dan pencetus kluster COVID-19, membabitkan pekerja kilang.

Kali ini, kes seumpama itu dikesan di kilang papan di Sook, Keningau yang menjadi kluster terbaharu berkaitan kilang dilaporkan di Sabah, semalam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata Kluster Batu 27 Sook itu dikesan selepas seorang pekerja wanita bukan warga negara disahkan positif COVID-19 hasil saringan di tempat kerja pada 9 Ogos lalu.

Katanya, kes indeks berumur 23 tahun itu kemudian membawa kepada penemuan empat lagi kes positif dalam kalangan rakan sekerjanya yang dikesan pada hari yang sama.

"Setakat hari ini (semalam), daripada 136 orang yang disaring, sebanyak 55 kes didapati positif termasuk 50 kes baharu. Jumlah itu dikesan hasil saringan di kuarters pekerja atas inisiatif pengurus perusahaan dan kuarters.

"Penularan dalam kluster ini dipercayai berpunca daripada pergaulan rapat antara penghuni rumah sewa yang padat," katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata kluster baharu itu menyumbang kes tertinggi bagi kategori saringan kluster di Sabah yang secara keseluruhan mencatat 118 kes semalam.

Secara keseluruhan, Sabah mencatat 1,514 kes baharu COVID-19 semalam, iaitu yang tertinggi pernah direkodkan setakat ini, manakala seramai 1,219 pesakit dibenarkan keluar hospital selepas disahkan sembuh.

Dalam pada itu, sebanyak 13 lagi kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan di Sabah semalam dengan tujuh kes dilaporkan di Kota Kinabalu, manakala masing-masing satu kes di Papar, Kudat, Tuaran, Penampang, Tawau dan Beluran.

Berita Harian X