Sabtu, 7 Ogos 2021 | 12:07pm
Nyamuk aedes betina menyebarkan virus denggi. - Gambar hiasan
Nyamuk aedes betina menyebarkan virus denggi. - Gambar hiasan

Pesakit denggi berkurangan

ALOR SETAR: Jumlah kes denggi di Kedah menunjukkan penurunan 240 kes atau 41.2 peratus, iaitu 343 kes sejak Januari hingga 31 Julai lalu, berbanding 583 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo, berkata setakat ini tiada kes kematian denggi di negeri itu.

"Terdapat sembilan daerah yang menunjukkan penurunan kes demam denggi, berbanding tempoh yang sama tahun 2020 iaitu Padang Terap sebanyak 92.5 peratus, Pendang (84.4 peratus), Kubang Pasu (63.8 peratus) dan Sik (59.1 peratus).

"Bandar Baharu pula menunjukkan penurunan 50 peratus, Baling (40 peratus), Kulim (39 peratus), Kota Setar (23.2 peratus) dan Kuala Muda (13.4 peratus).

"Dua daerah merekodkan bilangan kes yang sama seperti tahun lalu iaitu Langkawi dan Yan masing-masing dua kes," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Othman, berkata setakat ini terdapat 14 lokaliti wabak denggi dilaporkan di Kedah, berbanding 21 wabak denggi dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, Jabatan Kesihatan Kedah terus melaksanakan kawalan dan pencegahan denggi bagi memastikan penyakit ini berkurangan.

"Sehingga 31 Julai lalu, jabatan melakukan pemeriksaan ke atas 192,097 premis dan mengeluarkan kompaun kepada 1,776 pemilik premis kerana didapati terdapat pembiakan nyamuk aedes.

"Sebanyak 97,752 premis dibuat semburan untuk membunuh nyamuk aedes dewasa dan sebanyak 33,504 premis dilakukan larviciding bagi membunuh jentik-jentik aedes," katanya.

Berita Harian X