Jumaat, 6 Ogos 2021 | 9:57am
Atap di ruang dapur dan bilik rumah penduduk melayang akibat kejadian ribut di Kampung Bapong, Lipis petang, semalam. - Foto NSTP/Ihsan pembaca
Atap di ruang dapur dan bilik rumah penduduk melayang akibat kejadian ribut di Kampung Bapong, Lipis petang, semalam. - Foto NSTP/Ihsan pembaca

6 rumah di Kampung Bapong rosak dibadai ribut

LIPIS : Sebanyak enam rumah rosak teruk akibat dibadai ribut di Kampung Bapong, Lipis petang, semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, ribut selama hampir 30 minit yang disertai hujan lebat itu turut menyebabkan beberapa pokok buah-buahan tumbang.

Mangsa ribut, Kamaruddin Mohamad, 60, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di ruang tamu selepas pulang bekerja sebagai pemandu lori di bandar Kuala Lipis.

"Ketika sampai di rumah, hujan mula turun lebat dan disusuli angin kencang. Tidak berapa lama kemudian, angin bertambah kuat dan mencemaskan kami sekeluarga," katanya.

Kamaruddin berkata, akibat kejadian ribut itu atap di ruang dapur dan bilik rumahnya turut melayang.

"Dalam keadaan kelam kabut ini, saya memanggil isteri dan anak berkumpul di ruang tamu. Keadaan ruang dapur dan tengah rumah basah ditimpa hujan manakala peralatan dapur dan perabot ada yang rosak.

"Kami hanya mampu mengucap serta berdiam diri sambil melihat rumah jiran juga mengalami nasib yang sama," katanya.

Kamaruddin berkata, bagaimanapun dia bersyukur kerana ahli keluarga dan jirannya tidak mengalami kecederaan atau kemalangan jiwa dalam kejadian itu.

"Saya berharap ada pihak tertentu yang dapat membantu membaik pulih kerosakan rumah ini memandangkan pendapatan sebagai pemandu lori tidaklah seberapa dan tidak mampu berbelanja peralatan binaan," katanya.

Berita Harian X