Khamis, 5 Ogos 2021 | 9:45pm
FOTO hiasan. - Foto ARKIB NSTP
FOTO hiasan. - Foto ARKIB NSTP

Jangan lakukan pembakaran terbuka

KUCHING: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak mengingatkan penduduk dan semua industri yang beroperasi di negeri ini agar tidak melakukan pembakaran terbuka berikutan cuaca panas yang berterusan ketika ini.

NREB dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan pembakaran terbuka adalah penyumbang utama terhadap kemerosotan kualiti udara yang boleh memudaratkan kesihatan awam dan menjejaskan ekonomi.

"Cuaca panas dan kering ketika ini menyebabkan risiko kebakaran yang sangat tinggi di kawasan-kawasan yang mudah terbakar seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah," kata agensi itu.

Berdasarkan rekod pemantauan NREB, sebanyak 252 titik panas dikesan dari Januari hingga Julai tahun ini berbanding 201 titik panas pada 2020 dan 280 pada 2019 bagi tempoh yang sama.

"Bilangan ini dijangka terus meningkat jika keadaan cuaca panas dan kering berterusan hingga pertengahan September nanti," menurut NREB.

NREB memaklumkan, lazimnya peningkatan kes pembakaran terbuka disebabkan oleh aktiviti-aktiviti pertanian, pembukaan tanah untuk pertanian komersial serta kebakaran hutan dan belukar.

"Penduduk dan industri terutama sektor pertanian disaran mengamalkan operasi sifar pembakaran terbuka serta menggunakan kaedah-kaedah lebih mesra alam seperti pengomposan, sungkupan dan lain-lain bagi tujuan pelupusan sisa biojisim tumbuhan dan pembukaan tanah," kata NREB.

NREB berkata, mereka yang menyebabkan atau melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 30(1)(a) dan 30(2) Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar 2019.

Seksyen berkenaan memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali dengan kompaun RM1,000 bagi setiap hari berlakunya pembakaran terbuka.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung sebarang kejadian pembakaran terbuka diminta melaporkannya ke pejabat NREB terdekat atau menerusi aplikasi WhatsApp di talian 013-7595866. - BERNAMA

Berita Harian X