Jumaat, 23 Julai 2021 | 10:14pm
Lebih 20 pokok tumbang susulan hujan lebat dan ribut berterusan di Pekan Sedili menghala ke Kampung Sedili Besar, petang tadi. - Foto BOMBA JOHOR
Lebih 20 pokok tumbang susulan hujan lebat dan ribut berterusan di Pekan Sedili menghala ke Kampung Sedili Besar, petang tadi. - Foto BOMBA JOHOR

Tujuh kampung dilanda ribut, 140 kediaman rosak

KOTA TINGGI: Kira-kira 140 kediaman mengalami kerosakan susulan kejadian ribut yang melanda di kawasan Tanjung Sedili, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata bumbung sebuah rumah Perumahan Polis di Balai Polis Kuala Sedili turut terjejas dan mengalami kerosakan termasuk bumbung garaj kereta.

Katanya, bagaimanapun, tiada laluan utama jalan raya terputus akibat ribut kerana proses penyelenggaraan jalan sudah dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Tinggi dengan mengalihkan atau memotong pokok tumbang akibat tiupan angin ribut.

"Tujuh kampung terjejas membabitkan 140 keluarga. Sehingga kini, dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Setia Jaya, Tanjung Sedili dan SK Sedili Besar, Sedili, masih dalam proses dibuka bagi menempatkan mangsa.

"Jumlah mangsa yang akan dipindahkan ke PPS masih dalam tindakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), penghulu dan Ketua Kampung memandangkan kebanyakan mangsa mengambil keputusan untuk tinggal di rumah saudara masing-masing yang tinggal berhampiran.

"Sehingga kini, tiada kehilangan jiwa atau kecederaan dilaporkan, selain jumlah anggaran taksiran bencana kerugian akibat kerosakan masih belum dapat ditaksirkan dan pemantauan masih diteruskan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata beberapa bahagian bumbung dan siling Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor turut mengalami kerosakan susulan hujan lebat dan angin kencang kira-kira jam 3.30 petang tadi.

"Beberapa tingkap di bangunan berkenaan turut pecah. Hujan lebat dan angin kencang di sekitar kawasan Tanjung Sedili turut memberi kesan kepada sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang dalam proses pembaikan di limbungan.

Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili, Agensi
Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili, Agensi

"Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan. Pengoperasian Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili masih berjalan seperti biasa.

"Komuniti maritim dinasihatkan mengambil langkah keselamatan dan sentiasa pastikan semua peralatan kecemasan seperti EPIRB dan jaket keselamatan dibawa ketika cuaca buruk di laut," katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kota Tinggi, Mohd Sarul Nizam Khirudin, berkata

tujuh kampung yang terjejas ialah Kampung Sri Gading, Kampung Teluk Jeri, Kampung Teluk Jeri Luar, selain Kampung Teluk Jeri Dalam, Taman Sedili dan Kampung Tanah Putih.

Dalam perkembangan sama, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Ibrahim Wahid, berkata lebih 20 pokok tumbang susulan insiden berkenaan di Pekan Sedili menghala ke Kampung Sedili Besar, petang tadi.

Katanya, sejurus menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.42 petang, 14 anggota bersama masing-masing sebuah jentera, Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan jentera Fire Response Vehicle (FRV) digerakkan ke lokasi kejadian.

"Terdapat kejadian pokok tumbang di sepanjang jalan akibat hujan dan ribut. Anggota kita menggunakan peralatan khas bagi memotong pokok berkenaan.

"Operasi turut dibantu agensi lain iaitu Majlis Daerah Kota Tinggi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), selain 20 orang kampung.

"Kejadian pokok tumbang tidak membabitkan mangsa atau sebarang kecederaan dan operasi ditamatkan kira-kira jam 7.14 malam," katanya.

Berita Harian X