Khamis, 15 Julai 2021 | 9:30pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

'Kenduri' senyap-senyap punca kes COVID-19 meningkat

MARANG: Pertemuan keluarga dan 'kenduri' secara senyap di kalangan ahli keluarga dan saudara mara menjelang Aidiladha Selasa ini, boleh menjadi punca wujudnya kluster baharu sekali gus menyebabkan kes COVID-19 di Terengganu kembali meningkat.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Nor Azimi Yunus, berkata, rakyat negara ini perlu lebih bertanggungjawab dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menjelang sambutan Aidiladha.

Ini kerana, beliau berkata, pihaknya yakin akan berlaku rentas negeri atau daerah sebagaimana yang berlaku ketika perayaan Aidilfitri lalu.

"Kita tahu akan ada pihak yang melakukan rentas negeri dan daerah (dengan kelulusan) dan mungkin ada antara mereka yang membawa virus bersama.

"Kita tidak boleh halang orang untuk rentas negeri atau daerah, tetapi orang ramai diharap sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama ketika melakukan ibadah korban.

"Orang ramai juga diharap tidak melakukan pertemuan keluarga dan berhimpun dalam jumlah yang ramai selain tidak melakukan kenduri senyap-senyap bagi mengelak tercetusnya kluster baharu," katanya kepada media pada Program Jelajah Vaksinasi Pulau Siri I di Pulau Kapas, di sini, hari ini.

Katanya, jabatan itu sudah sediakan SOP untuk aktiviti korban tetapi pihaknya bimbang pertemuan keluarga dan 'kenduri' secara senyap boleh menyebabkan kluster baharu timbul selepas Aidiladha.

"Jadi harapan kami, boleh adakan korban tapi perlu patuhi SOP yang ditetapkan. Kita kena jaga, apatah lagi kita sudah berjaya kawal situasi COVID-19 dengan baik sebelum ini," katanya.

Mengulas peningkatan kes jangkitan COVID-19 di Terengganu daripada dua kepada tiga digit, Dr Nor Azimi berkata, ia dijangka akan terus meningkat dalam tempoh terdekat.

"Bilangan kes akan meningkat dalam tempoh beberapa hari akan datang kerana saringan besar-besaran dilakukan berikutan empat kluster baharu membabitkan daerah Marang, Dungun, Setiu, Hulu Terengganu dan Besut.

"Semua kluster itu wujud daripada aktiviti berhimpun anak beranak. Memang tiada kenduri kerana ia tidak dibenarkan tapi pertemuan rumah ke rumah ahli keluarga masih berlaku dan menyebabkan ia merebak dengan pantas," katanya.

Beliau berkata, saringan bersasar secara besar-besaran diharap dapat mengawal kluster dengan pantas.

Berita Harian X