Jumaat, 2 Julai 2021 | 2:22pm
Kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengadakan pemeriksaan ke atas sebuah kilang penebat di Perai yang dipercayai mencemarkan longkang awam dengan mengalirkan cecair pewarna. - Foto NSTP/ Ihsan JAS Pulau Pinang
Kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengadakan pemeriksaan ke atas sebuah kilang penebat di Perai yang dipercayai mencemarkan longkang awam dengan mengalirkan cecair pewarna. - Foto NSTP/ Ihsan JAS Pulau Pinang

Kilang penebat cemar longkang awam dikompaun RM8,000

BUTTERWORTH: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan empat kompaun berjumlah RM8,000 dan mengarahkan pemberhentian sementara operasi ke atas sebuah kilang penebat di Perai, di sini.

Ia berikutan, kilang yang mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan dan Antarabangsa (MITI) untuk beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu dipercayai mengalirkan cecair berwarna ke dalam longkang awam hingga menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata pemeriksaan diadakan selepas pihaknya menerima aduan awam berhubung insiden itu.

"Melalui pemantauan yang dibuat, kilang itu kemudian dikenakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ke atas peralatan pemprosesan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Dalam pada itu, empat kompaun berjumlah RM8,000 turut dikeluarkan kepada pemilik kilang di bawah Peraturan 5, 6, 7 dan 17 Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

"Notis Arahan Seksyen 31 dan 37 di bawah peraturan yang sama dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 juga dikeluarkan untuk premis itu menyelenggara dan menambah baik sistem rawatan efluen dan alat kawalan udara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kilang berkenaan hanya akan dibenarkan beroperasi semula selepas langkah pembaikan yang memuaskan diambil.

Berita Harian X