Rabu, 30 Jun 2021 | 8:03am

Pemandu cetus kluster baharu di Sabah

KOTA KINABALU: Seorang pemandu yang dijangkiti COVID-19 telah mencetuskan satu lagi kluster baharu, sehingga menyebabkan jangkitan menular di tiga daerah di Sabah, semalam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster yang dikenali sebagai Kluster Muhibbah Manggatal membabitkan penularan jangkitan dalam komuniti di Kota Kinabalu, Tuaran dan Penampang.

Kes indeks adalah seorang pemandu lelaki berusia 49, di salah sebuah badan berkanun di pusat bandaraya yang disahkan positif COVID-19 melalui saringan bergejala di Klinik Kesihatan Manggatal pada 20 Jun lepas.

"Aktiviti pengesanan kontak serta saringan secara bersasar di lokaliti terbabit yang dijalankan Pasukan Kawalan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), kemudian mendapati 40 lagi kes positif termasuk enam kes baharu pada hari ini (semalam).

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak 41 kes. Penularan jangkitan berkemungkinan merebak dalam komuniti kampung berkenaan dan saringan bersasar serta siasatan lanjut masih giat dijalankan," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Masidi berkata, jumlah kes harian COVID-19 semalam kekal mencatatkan sebanyak tiga angka.

"Berdasarkan laporan JKNS, jumlah kes positif baharu COVID-19 semalam adalah sebanyak 178 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 69,203 kes.

"Sebanyak empat kes kematian direkodkan iaitu dua kes di Tawau dan satu kes masing-masing membabitkan Kudat dan Kota Belud.

"Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital 219 menjadikan jumlah kumulatif 67,069 orang.

"Seramai 1,571 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 466 orang di hospital, 988 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 117, di Pusat Tahanan Sementara (PTS)," katanya.

Berita Harian X