Ahad, 20 Jun 2021 | 4:23pm
Lelaki berjalan melintasi kain rentang kempen vaksinasi COVID-19 untuk orang ramai di PPV Masjid At-Taqwa Durian Burung, Kuala Terengganu. - Foto NSTP/GHAZALI KORI
Lelaki berjalan melintasi kain rentang kempen vaksinasi COVID-19 untuk orang ramai di PPV Masjid At-Taqwa Durian Burung, Kuala Terengganu. - Foto NSTP/GHAZALI KORI

Jangan leka jangkitan menurun

KUALA TERENGGANU: Masyarakat tidak harus leka dengan penurunan jangkitan COVID-19 sejak beberapa hari lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus, berkata penularan pandemik COVID-19 belum berakhir dan boleh meningkat semula, jika masyarakat bersikap sambil lewa, terutama gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, walaupun kes positif COVID-19 di Terengganu mencatatkan dua digit sejak Rabu lalu, tetapi masyarakat perlu terus berusaha bersungguh-sungguh untuk bersama memutuskan rantaian jangkitan.

"Kita tak mahu situasi 'yoyo' atau turun naik kes positif COVID-19, berterusan tanpa kesudahan yang boleh menyebabkan rakyat, petugas kesihatan dan keadaan ekonomi letih.

"Sampai masa kita semua mesti bersungguh-sungguh terus kekalkan kepatuhan SOP. Sebab kita masih belum memenangi peperangan untuk memutuskan rantaian jangkitan," katanya dalam hantaran terbaharu di laman Facebook, hari ini.

Penurunan wabak akan membuka semula ekonomi. Mohamad Abd Rahman, 72 membawa pisang di Kampung Rhu Sepuluh, Terengganu untuk dijual di pasar. - Foto NSTP/GHAZALI KORI
Penurunan wabak akan membuka semula ekonomi. Mohamad Abd Rahman, 72 membawa pisang di Kampung Rhu Sepuluh, Terengganu untuk dijual di pasar. - Foto NSTP/GHAZALI KORI

Dalam tempoh seminggu, kes positif COVID-19 di negeri ini menunjukkan penurunan apabila mencatatkan 56 kes Khamis lalu, Jumaat (77), Sabtu (32), Ahad (62) dan 12 kes hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Nor Azimi berkata, penduduk negeri ini mestilah sentiasa mengutamakan kepatuhan SOP bagi membolehkan penurunan kes dicapai.

Katanya, ketika usaha berterusan dilakukan seluruh pegawai dan kakitangan kesihatan, masih terdapat jangkitan besar dalam keluarga sehingga akhirnya merebak ke tempat kerja seperti kes di Alor Limbat (17 orang), kes Atas Tol (23 orang), kes KN (20 orang) dan kes Wakaf Mempelam seramai 23 orang.

"Kita pun masih melaporkan ramai kes import B (rentas negeri) dan akhirnya menular kepada keluarga.

"Ini seolah-olah sukar nak putus rantaian jangkitan COVID-19 dan sekiranya masih ada yang tidak cakna dan bersikap tidak kisah, tentulah keadaan akan menjadi lebih sukar," katanya.

Berita Harian X