Jumaat, 18 Jun 2021 | 2:50pm

5 kakitangan hospital kena kompaun langgar SOP

KUALA PILAH: Akibat gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), lima kakitangan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini, dikenakan kompaun, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Gani, berkata mereka dikenakan kompaun atas kesalahan tidak memakai pelitup muka dan tidak membuat pendaftaran masuk melalui aplikasi MySejahtera atau menulis pada buku daftar ketika memasuki premis.

Katanya, mereka dikenakan tindakan itu dalam satu operasi bersepadu pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 membabitkan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah, HTAN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) daerah ini, yang diadakan jam 8.30 malam tadi.

"Operasi bersepadu itu dijalankan atas permintaan pengurusan HTAN sendiri selepas pihak berkenaan mendapati kadar pematuhan yang rendah terhadap SOP PKP 3.0 dalam kalangan warga kerja hospital itu.

"Seramai 10 pegawai dari ketiga-tiga agensi terbabit dalam operasi berkenaan dan lima individu dikenakan kompaun," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut memberikan nasihat kepentingan SOP semua kakitangan HTAN dan orang ramai yang berurusan di situ mematuhi SOP ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.

"Adalah menjadi harapan kita agar semua lapisan masyarakat benar-benar patuh kepada SOP supaya usaha mengekang penularan wabak COVID-19 ini berjaya," katanya.

Berita Harian X