Selasa, 15 Jun 2021 | 3:35pm
Sekatan jalan raya oleh anggota JSPT Kuala Lumpur di Plaza Tol Jalan Duta. NSTP/Ihsan PDRM
Sekatan jalan raya oleh anggota JSPT Kuala Lumpur di Plaza Tol Jalan Duta. NSTP/Ihsan PDRM
SJR Jalan Cheras yang terletak di hadapan Cheras Eko Mall dikendalikan Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras dipilih sebagai naib johan. NSTP/Ihsan PDRM
SJR Jalan Cheras yang terletak di hadapan Cheras Eko Mall dikendalikan Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras dipilih sebagai naib johan. NSTP/Ihsan PDRM

SJR Plaza Tol Jalan Duta johan Kempen SJR Terbaik

KUALA LUMPUR: Sekatan Jalan Raya (SJR) Plaza Tol Jalan Duta dikendalikan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan (JSPT) Kuala Lumpur dipilih sebagai johan Kempen SJR Terbaik Op COVID-19 Kontinjen Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata SJR Jalan Cheras yang terletak di hadapan Cheras Eko Mall dikendalikan Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pula dipilih sebagai naib johan.

"Kempen SJR Terbaik ini dilancarkan bagi menilai keberkesanan 13 SJR yang didirikan di sekitar ibu negara dan kriteria penilaian berdasarkan kesiapsiagaan dari segi aspek logistik dan penugasan.

"Ini termasuk kaedah mengendalikan SJR, pengetahuan petugas berkaitan SJR, kebersihan dan kekemasan di SJR dan sebagainya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azmi berkata, kempen itu juga sebagai satu suntikan semangat kepada petugas di lapangan supaya terus komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dalam mengharungi pandemik COVID-19.

"Polis Kuala Lumpur akan terus berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat dan pada masa sama memberi motivasi kepada petugas barisan hadapan dengan kempen sebegini.

"Nilai hadiah bukan ukuran, sebaliknya pengiktirafan kemenangan menjadi pembakar semangat kepada mereka untuk terus memberikan khidmat yang cemerlang," katanya.

Berita Harian X