Jumaat, 11 Jun 2021 | 8:38pm
Muhammad Saiful Safuan bersama bangkai ikan lumba-lumba sepanjang 2.4 meter jauh di Pantai Rombang, Pantai Puteri, Tanjung Kling. - Foto HASSAN OMAR
Muhammad Saiful Safuan bersama bangkai ikan lumba-lumba sepanjang 2.4 meter jauh di Pantai Rombang, Pantai Puteri, Tanjung Kling. - Foto HASSAN OMAR

Bangkai ikan lumba-lumba ditemukan di Pantai Puteri

MELAKA: Bangkai seekor ikan lumba-lumba dianggarkan seberat 200 kilogram (kg) dan sepanjang 2.4 meter ditemukan terdampar di pantai Kampung Pantai Rombang, Pantai Puteri, Tanjung Kling, dekat sini hari ini.

Bangkai ikan itu dijumpai nelayan, Muhammad Saiful Safuan Mad Aris, 25, ketika bersiap-siap menolak perahu turun menangkap ikan dengan tekong, Mohd Rahmad Khamis, 37, kira-kira jam 4 petang tadi.

Mohd Rahmad berkata, ketika turun ke pantai untuk menolak perahu, dia terkejut apabila rakannya memberitahu ada bangkai ikan lumba-lumba terdampar di tepi pantai.

"Kami dapati ada beberapa kesan cedera pada bahagian bawah perut manakala kulit di sebelah kirinya sudah mengelupas, dipercayai akibat sudah lama mati sebelum hanyut ke pantai.

"Kami menarik ikan itu jauh dari gigi pantai bagi mengelakkan ia hanyut jauh ke tengah laut," katanya ketika di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Jaringan Nelayan Pantai Rombang, Azmi Leman berkata, ikan lumba-lumba itu dipercayai sudah mati sejak beberapa hari lalu.

Sehubungan itu, dia menghubungi pegawai Jabatan Perikanan dan berterima kasih kepada jabatan itu kerana berjanji menghantar

kakitangan untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Mohd Fauzi Solehon yang dihubungi berkata, beliau sudah mengarahkan pegawainya ke lokasi kejadian dan mengambil tindakan selanjutnya.

Berita Harian X