Isnin, 7 Jun 2021 | 9:46am
Dr Nor Azimi (kanan) bermesra dengan warga emas yang hadir untuk dapatkan suntikan vaksin pada program jangkauan Imunisasi di Dewan PPV Awam di Sungai Tarom, Setiu, semalam. -Foto NSTP/Ihsan Dr Nor Azimi Yunus
Dr Nor Azimi (kanan) bermesra dengan warga emas yang hadir untuk dapatkan suntikan vaksin pada program jangkauan Imunisasi di Dewan PPV Awam di Sungai Tarom, Setiu, semalam. -Foto NSTP/Ihsan Dr Nor Azimi Yunus

Rakyat tidak culas untuk divaksin

KUALA TERENGGANU: Rakyat bukannnya culas tetapi kekangan tertentu termasuk jarak penjalanan jauh dikenal pasti punca kalangan penduduk di kawasan pendalaman masih rendah mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus, berkata strategi untuk tingkatkan liputan imunisasi kalangan penduduk akan dilakukan berdasarkan sosiodemografi.

Katanya, negeri ini mempunyai sosiodemografi berbeza dengan negeri lain dan strategi untuk tingkatkan liputan imunisasi kalangan penduduk perlu disesuaikan mengikut keadaan.

"Bayangkan, jarak perjalanan sejauh 45kilometer (km) terpaksa ditempuhi penduduk yang tinggal di kawasan pendalaman untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Kesungguhan penduduk di kawasan pendalaman mendapatkan suntikan vaksin terbukti apabila terpaksa melalui jalan yang di kiri dan kanan dipenuhi pokok kelapa sawit serta getah sejauh 45km untuk ke PPV," katanya melalui catatan pada Facebooknya hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, kesimpulannya rakyat negeri ini terutama penduduk di kawasan pendalaman bukan tak mahu divaksin, tetapi mungkin ada kekangan tertentu.

"Sebagai contoh, penduduk yang tinggal jauh di pendalamam di kampung Bukit Mundok, Setiu, terpaksa mengambil masa kira-kira 30 minit dan melalui perjalanan sejauh 45km untuk ke PPV Awam di Sungai Tarom, bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

"Pada program jangkauan Imunisasi di kampung pendalaman diadakan dengan kerjasama Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Setiu Khamis lalu, kira-kira 680 penduduk yang tinggal di kawasan pendalaman berjaya disuntik vaksin," katanya.

Mengulas mengenai situasi terkini pandemik COVID-19, Dr Nor Azimi, berkata tiga kematian membabitkan wanita berusia antara 58 dan 76 tahun dilaporkan meninggal dunia semalam.

Katanya, sejak berlakunya penularan pandemik COVID-19 mulai Mac tahun lalu sehingga semalam, sebanyak 56 kematian disebabkan dijangkiti virus dilaporkan di negeri ini.

"Tiga kematian akibat COVID-19 semalam adalah membabitkan tiga wanita masing-masing dari Kampung Kemat, Hulu Terengganu, Kampung Batu Hampar, Manir dan dari Kampung Serada, Kuala Terengganu," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Nor Azimi berkata, sebanyak 158 kes baharu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 9,871 kes positif COVID-19 di negeri ini.

Katanya, sebanyak 1,491 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa manakala 14 lagi menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan enam pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

"Walaupun kes positif COVID-19 semakin menurun sejak awal bulan ini, tetapi seluruh rakyat diminta sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Penduduk diminta sentiasa menjaga jarak satu meter antara satu sama lain, memakai pelitup muka apabila berada di tempat awam, elakkan diri perkumpulan, duduk di rumah dan tidak keluar jika tiada keperluan penting," katanya.

Dr Nor Azimi menambah, seluruh masyarakat juga diminta elakkan membuat pergerakan keluar masuk ke kawasan berisiko seperti zon merah dan jingga, kerap mencuci tangan dan menangguhkan aktiviti membabitkan kehadiran ramai.

Berita Harian X