Isnin, 7 Jun 2021 | 8:03am

Latihan memandu cetus kluster baharu di Kota Belud

KOTA KINABALU: Seorang pelajar sekolah memandu yang menjalani latihan dan ujian memandu di sebuah sekolah memandu di Kota Belud mencetuskan kluster baharu, membabitkan pelajar dan jurulatih sekolah terbabit serta penduduk setempat.

Kluster Tamalang itu membabitkan kes indeks seorang lelaki berumur 25 tahun yang dikesan positif COVID-19 selepas menjalani saringan bergejala di Hospital Kota Belud pada 27 Mei lalu yang sehingga kini merekodkan jumlah kumulatif sebanyak 27 kes.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata daripada jumlah itu, sebanyak sembilan kes membabitkan kontak sosial kepada seorang jurulatih di Akademi Memandu Kota Belud di Kampung Tamalang.

"Kes indeks juga menjalani latihan dan ujian memandu di akademi terbabit mulai 23 hingga 27 Mei lalu. Berdasarkan maklumat awal, penularan jangkitan dipercayai susulan aktiviti sosial komuniti di lokaliti terbabit seperti kelas mengaji Al-Quran, latihan dan ujian memandu serta aktiviti ziarah keluarga dan jiran," katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Kluster berkenaan adalah antara enam kluster baharu direkodkan di Sabah semalam, masing-masing membabitkan dua kluster tempat kerja, tiga berkaitan komuniti dan keagamaan serta satu berkaitan upacara pengebumian.

Dua kluster tempat kerja yang dilaporkan hari ini masing-masing di daerah Sandakan dan Kinabatangan membabitkan pekerja syarikat insurans (Kluster Jalan Utama Sandakan) dan syarikat

perladangan kelapa sawit (Kluster Sawit, Kinabatangan).

Sementara itu, Masidi berkata kluster berkaitan pengebumian, iaitu Kluster Murni C di Nabawan dan Penampang tercetus berikutan majlis penghormatan terakhir dan pengebumian di Kampung Murni C, Nabawan pada 20 dan 21 Mei lalu.

"Kluster ini didaftarkan di Penampang apabila kluster kes indeks, lelaki warganegara, berumur 33 tahun mengalami gejala demam dan sesak nafas sejak 20 Mei lalu dan disahkan positif COVID-19 di Klinik Kesihatan Penampang pada 22 Mei.

"Pengesanan secara aktif menyaring 121 individu terdiri daripada keluarga, kontak rapat dan kontak sosial. Daripada jumlah itu, 21 kes didapati positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 25 kes, manakala 86 individu masih menunggu keputusan saringan pertama," katanya.

Dalam pada itu, Kluster Kampung Gusi yang dilaporkan di Papar pula dikenal pasti berkaitan jangkitan komuniti dan aktiviti keagamaan yang membabitkan kes indeks seorang lelaki berumur 60 tahun yang setakat ini mencatat 25 kes kumulatif.

Masidi berkata, kes indeks bersama isterinya mula bergejala sejak 28 Mei lalu sebelum disahkan positif COVID-19 ketika saringan di Hospital Papar bersama 16 lagi rakan serumah yang menjalani saringan kontak rapat.

"Pada 4 Jun, Pejabat Kesihatan Papar menjalankan saringan bersasar di Surau Al-Kautsar iaitu tempat kes indeks menunaikan solat Maghrib dan Isyak. Daripada 31 jemaah yang disaring, lima didapati positif.

"Selain itu, dua lagi kes positif dikesan menerusi saringan bergejala di Hospital Papar dan saringan pra-rawatan di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu pada 2 Jun, kedua-dua adalah penduduk Kampung Gusi dan mempunyai sejarah menunaikan solat di Surau Al-Kautsar sejak dua minggu lalu," katanya.

Satu lagi kluster komuniti dan keagamaan direkodkan semalam ialah Kluster Ketiau Tembovo di Putatan yang sehingga kini merekodkan sebanyak sembilan kes positif COVID-19.

Kes indeks, iaitu lelaki berumur 63 tahun dilaporkan mengalami gejala demam, batuk, sakit tekak dan hilang deria rasa sejak 27 Mei lalu sebelum disahkan positif COVID-19 melalui saringan RTK-Antigen di Klinik Kesihatan Putatan pada 29 Mei lalu.

Berita Harian X