X
Khamis, 3 Jun 2021 | 11:35pm

COVID-19: Kemaman daerah terbaharu Zon Merah

KUALA TERENGGANU: Lapan daerah di negeri ini dikategorikan sebagai Zon Merah selepas Kemaman daerah terbaharu diumumkan hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri (JKNT), Dr Nor Azimi Yunus, berkata daerah Kemaman dikategorikan Zon Merah selepas mencatatkan sebanyak 55 kes positif COVID-19, berbanding hanya 40 kes semalam.

Katanya, daerah Besut masih mencatatkan kes tertinggi dengan 823 kes positif COVID-19, manakala daerah Kuala Terengganu di kedudukan kedua, 467 kes.

"Daerah Kuala Nerus pula mencatatkan 286 kes, Dungun (270), Setiu (279), Hulu Terengganu (267) manakala Marang, 55 kes," katanya menerusi Facebook Situasi terkini pandemik COVID-19, hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, enam kes kematian, termasuk dua dari daerah Besut dilaporkan hari ini.

Katanya, kes kematian pertama membabitkan seorang wanita berusia 68 tahun, dari Kampung Lapan Kotak, Jertih, Besut.

Mangsa yang mempunyai sejarah kencing manis dan darah tinggi serta angin ahmar dimasukkan ke Hospital Besut (HB) Isnin lalu selepas mengalami demam, batuk dan sesak nafas selama dua hari.

"Mangsa adalah kontak rapat kepada ahli keluarganya yang positif COVID-19, meninggal dunia, Selasa lalu.

"Seorang lagi warga Besut yang meninggal dunia akibat COVID-19, adalah seorang lelaki berusia 75 tahun, dari Kampung Air Tawar yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis," katanya yang mengesahkan mangsa meninggal dunia hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, empat lagi kes kematian akibat COVID-19 hari ini adalah seorang wanita berusia 77 tahun dari Kampung Seberang Takir dan seorang lelaki berusia 54 tahun, dari Kampung Telaga Mengkudu, Marang.

Sementara dua kes lagi membabitkan seorang lelaki berusia 75 tahun dari Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu dan seorang wanita berusia 51, dari Kampung Bukit Kecil, Kuala Terengganu.

Dalam perkembangan lain, Dr Nor Azimi berkata, sebanyak 127 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan di seluruh negeri hari ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak 9,320 kes.

"Sebanyak 1,539 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa manakala 15 kes menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), sembilan lagi memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

Berita Harian X