X
Rabu, 2 Jun 2021 | 8:03am
Foto hiasan
Foto hiasan

559,376 sudah mendaftar penerima vaksin di Sabah

KOTA KINABALU: Jumlah pendaftran penerima vaksin COVID-19 di Sabah memperlihatkan peningkatan mencapai 559,376 setakat semalam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata jumlah itu mewakili 19.1 peratus daripada populasi negeri ini.

Katanya, pendaftaran sebagai penerima vaksin paling banyak dilakukan menerusi aplikasi MySejahtera, berbanding penggunaan laman sesawang dan talian vaksinasi.

"Bilangan pendaftaran hari ini (semalam) mencatatkan sebanyak 5,548 menjadikan jumlah kumulatif yang mendaftar setakat ini adalah seramai 559,376 orang.

"Seramai 495,202 mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera, 63,963 mendaftar menerusi laman sesawang manakala 211 pula mendaftar melalui talian vaksinasi," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Mengulas perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) fasa kedua di Sabah, Masidi berkata seramai 1,109 sudah menerima suntikan vaksin harian dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 75,040 orang manakala bagi dos kedua, 2,239 menerima suntikan vaksin menjadikan 27,298 orang.

Katanya, jumlah kes harian COVID-19 semalam kekal mencatatkan sebanyak tiga angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) jumlah kes positif baharu COVID-19 semalam adalah sebanyak 318 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 62,562 kes dan satu kes kematian direkodkan di Tuaran.

"Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital seramai 199 menjadikan jumlah kumulatif 59,952 orang.

"Seramai 1,527 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 469 orang di hospital, 1,056 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) seramai dua orang," katanya.

Berita Harian X