Isnin, 31 Mei 2021 | 7:38pm
Foto hiasan
Foto hiasan

32 sekatan jalan raya di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan akan menambah sembilan lagi sekatan jalan raya (SJR) bagi memperkukuh sekatan sempadan daerah di negeri itu menjelang sekatan pergerakan penuh bermula esok.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata pertambahan itu akan menjadikan keseluruhan 32 SJR di seluruh negeri ini.

Katanya, seramai 2,940 anggota dikerah bagi melaksanakan pelbagai tugasan di bawah Ops COVID-19 sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

"Selain SJR, tugasan lain termasuk kawalan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan penghantaran vaksin ke Pusat Simpanan Vaksin.

"Banyak tugas kita kena laksanakan dalam sekatan pergerakan penuh. Jadi kita perlu guna banyak kekuatan anggota.

"Kita juga dibantu agensi penguatkuasaan lain antaranya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, tentera dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA)," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, setiap petugas terbabit telah menerima suntikan vaksin COVID-19.

Katanya, sehingga kini terdapat seramai 78 anggota polis dan 139 ahli keluarga mereka pernah dikesan positif COVID-19 berikutan bertugas di barisan hadapan memerangi wabak berkenaan sejak penguatkuasaan PKP Mac tahun lalu.

"Kebanyakan kes disebabkan tugas mereka berdepan orang ramai yang tidak diketahui sama ada mereka positif atau tidak, dan anggota ini kemudiannya menjangkiti ahli keluarga mereka yang lain kerana ada dikesan tidak bergejala," katanya.

Berita Harian X