Ahad, 23 Mei 2021 | 10:54am
Orang ramai beratur membeli barang keperluan harian di bandar Jertih sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah Besut, Terengganu. - Foto NSTP/NURUL FATIHAH SULAINI
Orang ramai beratur membeli barang keperluan harian di bandar Jertih sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah Besut, Terengganu. - Foto NSTP/NURUL FATIHAH SULAINI

2 kluster penyumbang kes di Besut

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 1,201 kes positif COVID-19 direkodkan di Besut sejak awal April hingga Jumaat lalu, dengan 14 kematian.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, berkata semua kes positif itu dikesan hasil ujian sebanyak 16,764 dengan kadar positif lebih tujuh peratus, sekali gus menunjukkan masih banyak kes di dalam komuniti yang perlu dikesan.

Katanya, ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1,900 peratus berbanding hanya 60 kes pada Mac lalu.

"Situasi COVID 19 di Besut disumbangkan oleh dua kluster besar, iaitu Kluster Tok Has yang bermula di kafe merebak ke pusat senaman, bank, beberapa sekolah dan akhirnya masuk ke komuniti sehingga ke Setiu, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

"Kluster ini menghasilkan sebanyak 474 kes positif dan masih berkembang pesat.

"Sama seperti Kluster D' Lahar bermula daripada pekerja syarikat, akhirnya merebak ke dalam komuniti dan menghasilkan 152 kes positif.

"Pengeluaran kompaun RM10,000 tidak mencukupi jika dibandingkan dengan impak yang sangat besar akibat kluster ini, apatah lagi jika membabitkan kematian warga tua," katanya di laman Facebook.

Dr Nor Azimi berkata, terdapat dua lagi kluster baharu iaitu kluster Tok Dor yang membabitkan pondok pengajian dan kluster Jalan Tuan Hitam yang membabitkan pasar raya.

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) memasang kawat duri di laluan tikus di kawasan sawah padi Kampung Padang Baloh, Hulu Besut. - Foto BERNAMA
Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) memasang kawat duri di laluan tikus di kawasan sawah padi Kampung Padang Baloh, Hulu Besut. - Foto BERNAMA

Katanya, kluster Tok Dor yang merekodkan 32 kes positif sudah menular ke Setiu dan Kuala Nerus, manakala 44 daripada 97 pekerja pasar raya berkenaan dikesan positif dalam tempoh satu minggu, bagi kluster Jalan Tuan Hitam.

"Bermula hari ini sehingga 4 Jun depan, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di seluruh Besut dengan mengambil kira situasi COVID-19 yang sudah tidak terkawal dan jangkitan sudah merebak jauh dalam komuniti.

"Warga Besut kena bersungguh-sungguh untuk menang dengan kekal duduk di rumah, mengehadkan pergerakan, mengelak perkumpulan beramai-ramai dan pematuhn prosedur operasi standard (SOP) kerana ini sahaja mampu memutuskan rantaian jangkitan COVID 19.

"Kita tidak mahu kematian demi kematian dilaporkan dari Besut dan ketika ini, masih ada lima warga Besut berada di unit rawatan rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu," katanya.

Berita Harian X