Selasa, 18 Mei 2021 | 10:22am
Paras air sungai yang melimpah ke kawasan perkampungan menyebabkan pesisir jalan mula dinaiki air di Kampung Morten, Melaka. NSTP/Syafeeq Ahmad
Paras air sungai yang melimpah ke kawasan perkampungan menyebabkan pesisir jalan mula dinaiki air di Kampung Morten, Melaka. NSTP/Syafeeq Ahmad

Mangsa banjir Melaka bertambah

MELAKA: Mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 554 orang pagi ini berbanding hanya 321 petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra, berkata sehingga jam 8 pagi tadi, tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka berbanding hanya empat semalam.

"Sehingga pagi tadi seramai 128 keluarga membabitkan 554 mangsa terjejas dipindahkan ke PPS dan angka itu dijangka bertambah kerana ada PPS yang masih dalam proses pengiraan.

"Pertambahan tiga PPS adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim di daerah Melaka Tengah serta SJKC Shuh Yen di Jasin," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 16 kawasan dilaporkan dilanda banjir dan daerah paling teruk terjejas adalah di Melaka Tengah.

"Kawasan terjejas adalah di Sungai Putat, Taman Bukit Beruang Utama, Taman Bukit Beruang Bestari, Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama, Taman Rambai Indah, Tanjung Minyak, Kampung Pengkalan Batu dan Rumah Awam Ayer Molek.

"Sementara di Alor Gajah membabitkan Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Padang Keladi serta Taman Kasawari di kawasan Durian Tunggal," katanya.

Di Jasin pula, tiga kawasan dilaporkan terjejas iaitu di Tanjung Laboh, Lubok Kasau dan Taman Hang Tuah Perdana.

Berita Harian X