Isnin, 17 Mei 2021 | 2:54pm
SEORANG penduduk mengharungi banjir di Sungai Putat, Melaka. - FOTO Syafeeq Ahmad
SEORANG penduduk mengharungi banjir di Sungai Putat, Melaka. - FOTO Syafeeq Ahmad

Banjir dua daerah di Melaka, 53 mangsa dipindahkan

MELAKA: Dua daerah di Melaka dinaiki air sehingga menyebabkan 53 mangsa dipindahkan berikutan hujan lebat luar biasa yang bermula kira-kira 6.30 pagi semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Abu Obaidat Mohamad, berkata pihaknya mula menerima panggilan kecemasan pertama dari penduduk di Taman Bukit Rambai Jaya dan Taman Bukit Rambai Indah di Bukit Ramai pada jam 8.09 pagi.

"Seramai tujuh mangsa dipindahkan dar kedua-dua taman berkenaan dan ditempatkan di rumah saudara masing-masing.

"Kawasan paling teruk terjejas ketika ini adalah Sungai Putat dan Bukit Beruang apabila 40 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Munshi Abdullah di Batu Berendam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, di Durian Tunggal, Alor Gajah pula, seramai enam mangsa dipindahkan dan kini ditempatkan di dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Durian Tunggal.

OPERASI menyelamat mangsa banjir oleh pasukan bomba di kawasan perumahan Ayer Keroh. - FOTO Nuraliawati Sabri dan Ihsan bomba.
OPERASI menyelamat mangsa banjir oleh pasukan bomba di kawasan perumahan Ayer Keroh. - FOTO Nuraliawati Sabri dan Ihsan bomba.

Katanya, kawasan terbabit digenangi air sedalam antara 0.5 meter hingga 1.5 meter berikutan hujan lebat lebih lima jam sejak pagi tadi.

"Seramai 75 pegawai dan anggota JBPM Melaka terbabit dalam operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir hari ini," katanya.

Penduduk, Abdul Jalil Albak, 55, berkata air naik dengan pantas kira-kira 8 pagi, sekali gus menyukarkan mereka menyelamatkan harta benda.

"Tak sampai setengah jam, air dah naik paras leher. Mula-mula hujan lepas Subuh, paras betis dan hujan berhenti sekejap. Dalam jam 8 lebih, hujan semula yang makin lebat dan air mula naik dengan cepat. Kami tak sempat nak selamatkan apa-apa," katanya ketika ditemui pemberita di Sungai Putat di sini. - BERNAMA

Berita Harian X