Ahad, 16 Mei 2021 | 10:20am

Ibu tunggal jalani hidup 30 tahun merangkak

TANAH MERAH: "Selama 30 tahun saya hidup dengan merangkak, namun saya anggap kekurangan ini satu keistimewaan untuk lebih menghargai kehidupan," luah Norazlinda Deraman, 30.

Ibu tunggal seorang anak perempuan berusia lapan tahun itu, bergerak dengan merangkak menggunakan kekuatan tangan berikutan kedua-kedua kakinya lumpuh sejak lahir.

Norazlinda mengakui dia banyak menghabiskan masa di rumah kerana pergerakannya yang terbatas, malah tidak pernah bekerja selain berhenti sekolah ketika Darjah Satu susulan tidak tahan diejek rakan.

"Sejujurnya, saya tiada keyakinan diri dan lebih selesa berada di rumah menghabiskan masa bersama anak, Nur Amalina Mohd Faizal. Malah, jika ada sebarang majlis di sekolah anak juga, ibu atau kakak yang banyak mewakili saya.

"Saya bersyukur kerana dapat menumpang kasih dan berteduh di rumah ibu, Che Hasnah Awang, 61, selepas bercerai dengan suami pada 2016, tidak cukup dengan itu, ibu turut menyediakan dapur asing yang memudahkan saya untuk memasak sendiri.

"Oleh kerana saya hanya mampu merangkak, ada sahaja rasa sakit dan lenguh di bahagian lengan serta seluruh badan mungkin kerana terpaksa menampung badan setiap kali bergerak," katanya.

Dia ditemui selepas menerima lawatan wakil Yayasan Raja Shamri (YRS) di rumahnya di Kampung Padang Kijang, di sini, baru-baru ini.

Wakil YRS, Tuan Zaimah Raja Omar, menyampaikan sumbangan kewangan, pek makanan, telekung dan memberi kata-kata semangat untuk Norazlinda terus tabah dan kuat dalam menghadapi cabaran hidup.

Norazlinda berkata, sebelum ini dia hanya mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan selain menumpang rezeki ibunya untuk makan dan minum.

"Setiap bulan, saya akan menabung sebanyak RM50 sebulan, sebagai simpanan kecemasan jika anak sakit atau demam. Saya cukup bersyukur kerana anak memahami kekurangan yang ada pada saya dan tidak pernah sesekali merungut malah banyak membantu memudahkan kerja saya di rumah.

"Besar harapan saya untuk pastikan Nur Amalina belajar bersungguh-sungguh dan menjadi insan yang berjaya supaya dapat membantu mengubah kehidupan kami sekeluarga dan yang paling penting supaya dia tidak perlu lagi hidup dalam kedaifan.

"Tak banyak yang saya tahu dunia luar, malah tidak pernah sekali pun saya keluar dari Kelantan tapi bernasib baik kerana ada kemudahan internet di telefon yang membolehkan saya tahu isu semasa," katanya yang juga menghidap penyakit asma.

Anak ketiga daripada empat beradik itu hanya keluar ke klinik berdekatan untuk mendapat ubat.

Nur Amalina Mohd Faizal, 8, membantu ibunya, Norazlinda Deraman, 30, yang hanya mampu merangkak untuk bergerak. - Foto NSTP/Syaherah Mustafa
Nur Amalina Mohd Faizal, 8, membantu ibunya, Norazlinda Deraman, 30, yang hanya mampu merangkak untuk bergerak. - Foto NSTP/Syaherah Mustafa
Berita Harian X