Jumaat, 14 Mei 2021 | 4:35pm
Anggota RELA menasihatkan jemaah yang terlewat hadir untuk menunaikan solat Jumaat pulang, selepas jumlah jemaah Masjid Haji Kadir, Kuala Terengganu sudah penuh. - Foto NSTP/BAHAROM BAKAR
Anggota RELA menasihatkan jemaah yang terlewat hadir untuk menunaikan solat Jumaat pulang, selepas jumlah jemaah Masjid Haji Kadir, Kuala Terengganu sudah penuh. - Foto NSTP/BAHAROM BAKAR

Tiga kematian dalam tiga hari

KUALA TERENGGANU: Tiga kematian disebabkan COVID-19, dilaporkan di derah Besut dalam tiga hari, sejak Rabu lalu.

Kes kematian terbaharu akibat COVID-19 membabitkan seorang wanita berusia 63 tahun dari Kampung Gertak 100, Besut.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus, berkata mangsa ialah penghidap penyakit darah tinggi serta angin ahmar dan dimasukkan ke hospital kerana mempunyai simptom demam, cirit-birit dan lenguh badan.

Katanya, dengan kematian terbaru itu, ada 11 kematian disebabkan COVID-19, di daerah Besut.

"Dua hari lalu, dua kematian dilaporkan membabitkan seorang warga emas lelaki berusia 71 tahun dari Kampung Pelagat 3 dan seorang wanita berusia 55 tahun dari Kampung Bukit Tumbuh," katanya dalam hantaran terbaharu di laman Facebook (FB), hari ini.

Mengenai kes pelajar di Sekolah Menengah Agama (SMA) di Setiu, Dr Nor Azimi berkata, sebanyak 41 kes positif COVID- 19 dilaporkan membabitkan sekolah berasrama harian.

Katanya, kes indek kes ialah guru wanita yang juga kontak rapat kepada kes kluster di Kampung Tok Has, Besut.

"Sebanyak 50 peratus atau 99 orang daripada 208 pelajar perempuan di asrama SM Agama Setiu dijangkiti pandemik COVID-19.

"Kesian sungguh kepada pelajar itu, bila dikuarantin lama di asrama terutama masa Hari Raya ini ... Allah sahaja yang tahu hati dan perasaan pelajar, termasuk ibu bapa mereka. Bukan sahaja pelajar yang 'menderita', pihak pengurusan sekolah malah ibu bapa turut merasai penderitaan yang sama," katanya.

Dr Nor Azimi berkata, pegawai dan anggota kesihatan sedar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di asrama sangat sukar walaupun mereka mungkin tinggal tiga atau empat orang dalam satu bilik.

"Saya selalu ulang bahawa virus COVID- 19 mesti dihalang masuk ke sekolah. Bermula daripada pintu masuk di institusi dan sekolah, terutama sekolah berasrama.

"Langkah pencegahan di sekolah dan institusi pendidikan perlu dilakukan lebih ketat, agar tiada kemasukan virus COVID-19," katanya.

Berita Harian X