Jumaat, 7 Mei 2021 | 2:13pm

Polis Johor perketat pemeriksaan di sempadan daerah PKP

JOHOR BAHRU: Pergerakan kenderaan mula perlahan di pintu keluar masuk ke negeri ini susulan sekatan jalan raya dilaksanakan di semua lokasi sempadan keluar dan masuk di kawasan strategik dan sempadan negeri susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi, bermula hari ini.

Tinjauan di Plaza Tol Skudai mendapati, kebanyakan kenderaan yang melalui laluan di lebuh raya ini adalah kenderaan berat, selain anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dilihat meminta surat atau dokumen berkaitan sebelum pemandu dibenar meneruskan perjalanan.

Jurucakap polis berkata, keadaan di sekatan jalan raya Plaza Tol Skudai terkawal dengan pemandu kenderaan memahami proses merentas masuk, selain memberi kerjasama terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.

"Kebanyakan pengguna jalan raya yang diperiksa menyatakan, mereka pergi bekerja dan pihak kami turut mendapat arahan akan ada pergerakan terutama ibu bapa yang ingin menguruskan anak mereka pulang dari tempat pengajian di negeri lain.

"Pemantauan dan pemeriksaan surat atau dokumen berkaitan turut dijalankan bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Sehingga kini, difahamkan, jumlah penumpang dalam setiap kenderaan mengikut kapasiti kenderaan, selain kami masih mengekalkan laluan dua lorong kepada orang awam, manakala laluan satu lorong lagi khas kepada petugas barisan hadapan bagi urusan kecemasan.

"Kami jangka peningkatan pengguna setiap kali waktu puncak bekerja dan balik kerja termasuk jumlah pengguna jalan raya menjelang Aidilfitri," katanya.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan PKP dilaksanakan di beberapa daerah di Johor, Terengganu dan Perak berkuat kuasa hari ini hingga 20 Mei.

PKP di Johor membabitkan daerah Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi, manakala 14 mukim dalam daerah Besut kecuali Mukim Hulu Besut di Terengganu dan Mukim Taiping, daerah Larut, Matang dan Selama di Perak.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penguatkuasaan PKP dilaksanakan susulan peningkatan kes di kawasan berkenaan.

 Gambar hiasan
Gambar hiasan
Berita Harian X